malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis: Jamal perlu serah diri, selesai urusan tergendala
Diterbitkan:  May 28, 2018 10:36 AM
Dikemaskini: 2:39 AM
ADS

Pihak polis meminta Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos supaya menyerah diri bagi menyelesaikan 'urusan yang tergendala', lapor media tempatan.

"Serah diri kamu untuk selesaikan urusan yang tergendala," kata Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor seperti dipetik Star Online hari ini.

Pihak polis juga akan memutuskan kemudian apabila tepat pada masanya untuk bertindak, kata Mazlan menjawab soalan jika pihak berkuasa akan melakukan sesuatu jika Jamal gagal muncul di balai polis.

"(Polis) akan putuskan kemudian bila masanya tiba," kata Mazlan lagi.

Star Online turut melaporkan keadaan kediaman Jamal di Ampang.

"Bagaimanapun, pada masa laporan ini dibuat, masih tiada tanda-tanda kemunculan ketua bahagian Umno Sungai Besar itu, dengan kediamannya di Ampang kelihatan tanpa kereta.

"Rumah itu, yang dilengkapi dengan kamera keselamatan, juga kelihatan kosong kecuali pengawal keselamatan bertugas yang dengan cepat memberi laluan masuk kepada pekerja tanpa bercakap dengan media," tulis laporan itu.

Semalam, Jamal menghantar rakaman ke media menjanjikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selepas lebih daripada 34 jam hilang ketika urusan ikat jaminnya berlangsung dan menyebabkan pihak polis cuba mengesannya, .

Dalam rakaman itu, Jamal menafikan melarikan diri dari hospital semasa keluar ketika prosiding ikat jamin mahkamah, malah menganggap kejadian itu berlaku kerana salah faham.

Jamal mendakwa bergegas meninggalkan kawasan hospital itu pada Jumaat lalu kerana pergi ke Tabung Haji disebabkan anggapannya tempoh tahanan remannya telah berakhir.

Beliau berkata ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang yang diperlukan bagi perbelanjaan ikat jamin dan kos berkaitan kes tersebut.

"Jadi apabila... saya bergegas keluar daripada hospital itu kerana mengejar masa, takut-takut pihak apanama...waktu pejabat Tabung Haji tutup.

'Panggilan sedang diburu'

"Jadi setelah saya berjaya mengeluarkan duit tersebut, saya mendapat panggilan saya sedang diburu oleh pihak polis kerana melarikan diri daripada hospital dan sebagainya.

"Jadi sebab itulah dalam keadaan yang saya kurang sihat, bagi saya lebih baik saya berehat dahulu dan insyaAllah saya akan tetap memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis," kata Jamal dalam rakaman itu.

Jamal juga berkata memandangkan dia tidak begitu sihat, dia memutuskan untuk berehat sementara waktu, walaupun menerima panggilan memaklumkan pihak polis sedang mengesannya.

Prosiding ikat jamin itu dibuat di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana Jamal menerima rawatan sakit belakang di wad hospital.

Bagaimanapun, pemimpin kumpulan Baju Merah itu gagal menjelaskan pihak yang telah menghubunginya dan kenapa dia tidak memberitahu polis atau peguamnya berkenaan keputusannya meninggalkan hospital.

Peguam Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin dalam suatu kenyataan semalam mengesahkan Jamal telah menghubunginya dan berkata anak guamnya akan hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan proses ikat jamin.

Lihat Komen