malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib tarik saman fitnah 1MDB pada Tony Pua
ADS

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang berlangsung selama tiga tahun terhadap setiausaha publisiti DAP, Tony Pua dan pemilik media Rakyat, Chan Chee Kong berhubung ulasan anggota parlimen Damansara itu mengenai 1MDB.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, anak guamnya bersetuju untuk menarik balik saman itu dengan syarat yang tidak didedahkan.

"Penarikan (saman) ini adalah tanpa kebebasan untuk memfailkan lagi," kata Hafarizam.

Peguam Pua, Michelle Ng, yang juga ADUN Subang Jaya mengesahkan penarikan saman itu.

Chan pula diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin.

Ini kali kedua Najib menarik balik saman fitnahnya selepas penarikan terdahulu terhadap bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Awalnya, mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar penjelasan dan keputusan permohonan Pua dan Chan bagi membatalkan saman Najib.

Kes ini, saman pertama Najib yang difailkan terhadap Pua, mengatakan ahli parlimen DAP itu telah menuduh perdana menteri (pada ketika itu), yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, mencuri wang rakyat dalam ucapannya di suatu majlis makan malam di Petaling Jaya.

Najib memfailkan saman itu tiga tahun lalu, mendakwa perkataan Pua bermakna dia (Najib) tidak layak dan tidak boleh dipercayai untuk memegang jawatan awam.

PM dalam kenyataannya juga berkata video yang dimuat naik di YouTube, mempunyai hampir 195,000 paparan pada 2 Mac 2015.

Najib turut mendakwa Chan mengamalkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab dan fitnah berkenaan telah merosakkan reputasinya secara meluas.

Bekas perdana menteri itu memohon mahkamah mendapatkan ganti rugi - teladan, teruk dan umum. Beliau juga meminta perintah mahkamah menghalang defendan daripada mengulangi serta menerbitkan kenyataan fitnah dan memalukan beliau.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen