malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jika Nik Omar sertai awal, hari ini Kelantan berubah'
ADS

WAWANCARA | Pada pilihan raya umum ke-14 (pru14) gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) melakukan ombak serangan besar-besaran terhadap BN.

Di samping merampas kuasa persekutuan, HARAPAN berjaya mengambil alih kerajaan negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.

Bagaimanapun, di negeri-negeri pantai timur Kelantan dan Terengganu, HARAPAN yang sangat cemerlang di tempat lain di seluruh negara telah dihapuskan sepenuhnya. HARAPAN gagal memenangi 22 kerusi parlimen dan 77 kerusi yang dipertandingkan di kedua-dua negeri.

Dalam satu wawancara pada hari Selasa minggu lalu, pengarah pendidikan politik DAP, Liew Chin Tong mengakui sebelum PRU14 agar sukar bagi HARAPAN menembusi ke Terengganu kerana sokongan untuk PAS tetap kukuh, tetapi beliau menjangka gabungan itu berpeluang menguasai Kelantan.

Liew (gambar) berkata keadaan mungkin berbeza jika Nik Omar anak kedua mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menyertai AMANAH setahun lebih awal daripada yang dilakukannya.

"Saya rasa jika Nik Omar menyertai (HARAPAN) pada tahun sebelumnya, hasilnya mungkin berbeza. Nik Omar boleh menjadi 'Angsa Hitam' sebelum pilihan raya. Sepanjang pilihan raya, beliau boleh memberi impak besar kepada penyokong PAS di Pantai Timur, dengan membawa undi mereka kepada HARAPAN.

"Tetapi Nik Omar datang agak terlambat," kata Liew (merujuk teori Angsa Hitam - Black Swan mengenai sesuatu perkara yang muncul secara mengejutkan, berpengaruh besar dan setelah kemunculannya akan menyebabkan manusia berfikir jauh ke belakang terhadap sebab musabab kejadian tersebut).

Pemilihan Nik Omar sebagai calon HARAPAN tidak dapat disahkan sehingga ke hari penamaan pada 28 April, apabila beliau hadir di pusat pencalonan untuk mendaftar sebagai calon DUN Chempaka di bawah tiket PKR.

Beliau juga dipilih sebagai calon menteri besar Kelantan jika beliau menang dan gabungan itu berjaya menguasai kerajaan.

Namun demikian, Nik Omar dan semua calon HARAPAN lain di Kelantan akhirnya kalah. Khususnya, Nik Omar hanya memperolehi 2,418 undi, berbanding calon Umno Mohamed Fareez Noor Amran yang mendapat 7,075 undi dan calon PAS Ahmad Fathan Mahmood yang menang dengan 10,549 undi .

Liew berhujah dalam pertandingan tiga penjuru di kawasan pilihan raya dengan pengundi Melayu kira-kira 60 peratus, kemungkinan besar HARAPAN menikmati sokongan kukuh dan konsisten daripada bukan Melayu, walaupun sokongan orang Melayu berpecah tiga antara HARAPAN, PAS dan BN. Beliau berkata keadaan ini berlaku di banyak kawasan di Pantai Barat.

Walau bagaimanapun, di Pantai Timur yang majoritinya Melayu, HARAPAN - terutama AMANAH - memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus sokongan Melayu untuk menang, tetapi gabungan itu tidak berjaya mendapatkan sasaran itu.

Oleh itu, walaupun corak pengundian di Pantai Timur didorong sentimen yang sama seperti di seluruh negara - menentang perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - HARAPAN tidak dapat memanfaatkan faktor ini.

Liew juga berkata sebahagian besar keputusan PRU14 mengesahkan ramalannya pada tahun 2015 bahawa akan ada pensejajaran semula kuasa politik di Malaysia yang akan membawa kejatuhan BN.

Beliau meramalkan bahawa jika terdapat peralihan sokongan pengundi Melayu sebanyak 15 peratus dari BN ke HARAPAN, BN akan kehilangan 35 hingga 45 kerusi parlimen di Pantai Barat Semenanjung.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen