malaysiakini logo
story-image
ADS

PULASAN | Apakah yang berlaku pada suatu hari lebih sedikit dari setahun yang lalu?

Ia berlaku pada 17 Mei 2017. Ada kebenaran yang tertangguh pada malam itu. Secara khusus, ada pantun yang tak sempat disiapkan.

"You are infront of the prime minister, you have to behave, understand? (Kamu di depan perdana menteri, kamu kena jaga kelakuan, faham?)" Kata seorang pelakon terkenal.

Kemudian datanglah seorang pelakon dan pelawak pula yang tiba-tiba mengasari David Teo.

Dalam kekecohan itu kita boleh dengar moderator sesi dialog program Transformasi Nasional 2050 (TN50) itu bersuara.

Sekali dengar suara itu seperti mahu menenangkan keadaan, tapi kalau didengar lebih lanjut, ia lebih untuk melepaskan perasaan yang tersimpan lama dalam hatinya.

"Kurang ajar.... dia tu memang kurang ajar daripada dulu..."

Perdana menteri Malaysia ketika itu masih kekal tenang dan tersenyum simpul. Dan beliau kedengaran berkata: "Ya... ya.... ya...."

"Saya bagi pihak penggiat industri seni, saya mohon maaf sangat..." kata moderator tersebut, Rosyam Nor.

Selain membuat ramai tertanya-tanya apakah maksud sebenar "penggiat seni" itu sekadar pelakon, pengacara, penyanyi dan orang yang sewaktu dengannya, insiden itu agak mengejutkan.

Sudahlah begitu, ia terjadi di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Dan tidak ada sesiapa sangka setahun kemudian kekecohan itu pun dilupakan. Ketika itu memang ia adalah cerita besar. Namun besarnya tidak ke mana pun.

Lebih besar daripada besar

Tidak kedengaran ada apa-apa tindakan diambil. Kalau boleh dibuat ibarat, ia sekadar gigitan nyamuk berbanding sengatan sekawan tebuan yang berlaku setahun selepasnya.

Bergerak pantas ke depan - pada 16 Mei 2018.

Ia di rumah Datuk Seri Najib Razak. Tiada Rosyam Nor, tiada David Teo, tiada Mat Over, tiada juga kelihatan adegan tampar-menampar.

Yang ada cuba kejutan dan debaran yang lebih besar. Sejumlah anggota polis Bukit Aman melawat ke rumah Najib. Kali ini bukanlah kediaman rasmi perdana menteri seperti tahun lalu kerana Najib sendiri bukan lagi perdana menteri.

Najib sekarang anggota parlimen pembangkang. Malah ada kemungkinan juga dia bakal dilantik sebagai ketua pembangkang. Ia adalah perkembangan yang dinanti-nantikan.

Jika ada sesiapa yang menyangka penggeledahan polis di rumah Najib itu adalah kejutan terbesar, ternyata mereka silap. Ia memang satu kejutan besar tapi tidak cukup besar.

Kejutan yang lebih besar ialah jumlah harta dan wang tersimpan di premis yang ada kaitan dengan Najib itu.

Tanpa pantun sekerat David Teo, tidak perlu gedebe Mat Over dan lupakan 'macho' Rosyam Nor. Satu dunia terkejut dengan kisah penemuan harta sebanyak itu di rumah bekas perdana menteri.

Ada beberapa pengajaran dapat dinukilkan daripada peristiwa di Jalan Langgak Duta berkenaan. Antaranya:

  • Rahsia menjadi kaya-raya

Lupakan bank atau mana-mana institusi kewangan berlesen. Abaikan segala skim pelaburan amanah atau komoditi di Bursa Malaysia. Ia mungkin menguntungkan namun tidak terjamin.

Ia juga tidak seselamat seperti jangkaan kita. Pemimpin Umno memberi teladan bahawa tempat terbaik - dan paling menguntungkan - untuk menyimpan wang ialah di dalam rumah, pejabat atau kondominium.

Dari mana wang itu diperolehi dan ke mana ia sepatutnya disalurkan - itu belakang kira.

  • Coklat dan gugatan kedaulatan negara

Terkhilaf besar kita rupanya apabila menganggap coklat tidak lebih sekadar makanan yang boleh menyebabkan kencing manis, kerosakan gigi atau obesiti.

Selama ini begitulah kita dimomok-momokkan. Sekarang kita tahu coklat - sama ada ia tersimpan di dalam peti sejuk atau helikopter - adalah isu sensitif yang boleh mencetuskan krisis dalam sesebuah negara.

Berapa gamaknya harga sekeping coklat itu - belakang kira.

  • Kecekapan anggota polis tercabar

Selama ini kita berbangga kerana kualiti anggota keselamatan berbaju biru gelap itu boleh diangkat antara yang terbaik di dunia.

Dengan kepakaran dan kemahiran yang ada, tidak banyak kes yang tidak boleh diselesaikan oleh Polis Diraja Malaysia. Isunya cuma mahu atau tidak saja.

Namun apabila datang takdir yang ditentukan, mereka tercabar jua. Sudahlah bulan puasa, terpaksa berlapar dan dahaga. Sebahagian anggota polis diuji dengan kemahiran mengira wang yang banyak. Berhari-hari juga mereka diuji.

Berapa nilai keseluruhan wang dan harta berkenaan - sekarang sedang dikira.

  • Nasib malang YB

Hati-hatilah. Jangan terlalu mengharap kepada mana-mana wakil rakyat. Memang ada ketikanya mereka berharta, tetapi dalam banyak keadaan kita keterlaluan menduga.

Di sebalik rantaian mutiara kata yang sentiasa mengalir dari lidah seorang ahli politik, rupa-rupanya terselit derita yang sangat sengsara. Mereka sebenarnya serba daif lagi merana demi rakyat.

Justeru, seperti sijil ijazah palsu yang boleh dibeli di mana-mana, jam yang kelihatan bergaya serta sangat mahal di tangan seorang ahli politik - rupa-rupanya kadang-kadang tiruan cuma.

Tidak dapat dipastikan di mana Rosyam Nor dan Mat Over berada ketika rumah Najib serta kondominium anaknya di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur itu digeledah anggota polis dari Bukit Aman baru-baru ini.

Ia berlaku genap setahun selepas aksi dramatik mereka di Putrajaya mencuri perhatian jutaan orang di negara ini.

David Teo mungkin masih kesipuan kesan dia diserbu oleh Mat Over di depan perdana menteri di Putrajaya pada 17 Mei 2017.

Rasa dendam dan tidak puas hati mungkin masih tersimpan, mungkin sudah dilupakan.

Masalahnya ialah, Umno - atau Najib - tidak sedar insiden itu adalah sebahagian bunga-bunga petanda kemarahan rakyat kepada BN. Ia kemudian melimpah menjadi rasa mual dan muak.


Baca Janji Najib: Lailatulqadar tiba awal


Ia adalah manifestasi amalan menyembunyikan masalah di bawah tikar, suburnya budaya membodek dan sindrom penafian dan bebalnya memilih jalur pemikiran yang kontemporari.

Rasa itu akhirnya diterjemah pada kertas undi PRU ke-14 baru-baru ini. Daripada tamparan seorang pelakon dan pelawak terhadap penerbit filem, ia mengalami transformasi tersendiri untuk menjadi tamparan buat Najib, Umno dan BN.

Tidak dapat dipastikan berapa lama Umno akan terhukum sebelum parti itu sekali lagi mendapat kepercayaan majoriti rakyat. Itu pun kalau ia dapat diselamatkanlah.

Ilham transformasi Najib yang menghasilkan TN50 kini sudah memiliki bentuk serta wajah baru. Ia menjadi TN18, iaitu tragedi Najib 2018.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen