malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: CEO AirAsia terpaksa sokong BN atau ditekan LHDN
Diterbitkan:  May 27, 2018 4:46 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes mendapat simpati Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menerima tekanan bagi menyokong pentadbiran BN sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam wawancara dengan The Edge, Mahathir berkata lebih baik bagi syarikat dan individu pada masa itu untuk dilihat sebagai mesra BN, atau berisiko menjadi sasaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya tahu kerajaan (BN) menggunakan tekanan. Contohnya jika syarikat atau individu kelihatan mesra kepada kami (Pakatan Harapan), jabatan cukai pendapatan akan meminta mereka membayar cukai tambahan.

"Jadi apabila anda menghadapi ancaman ini, lebih baik bersahabat dengan kerajaan. Jadi mereka (AirAsia) menukar warna merah (jenama) mereka kepada biru (BN) untuk menggembirakan kerajaan.

"Saya bersimpati dengan ramai orang yang ditekan kerajaan (BN) dalam pelbagai cara," kata Mahathir ketika diminta mengulas video sebelum PRU14 yang menampilkan Fernandez memuji perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak yang mendahulukan rakyat.

Video itu dimuat naik dua hari sebelum hari pengundian 9 Mei di saluran YouTube NegaraKu, yang turut menampilkan tokoh-tokoh lain yang memuji dasar pentadbiran Najib.

Pada masa itu, Najib kembali ke Kuala Lumpur daripada lawatan dua harinya ke Sabah menaiki pesawat AirAsia yang memaparkan slogan pilihan raya BN "Hebatkan Negaraku."

Foto-foto dalam pesawat A330-300 juga menunjukkan penumpang penerbangan berpakaian seragam biru, yang merupakan warna rasmi BN, berbanding dengan warna merah biasa mereka.

Video itu menarik perhatian ramai, memaksa Fernandes mengeluarkan satu video permintaan maaf. Bagaimanapun, anggota parlimen BERSATU Syed Saddiq Abdul Rahman Bersatu dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz tampil membela Fernandes.

Walau bagaimanapun, permohonan maaf Fernandes itu mengundang bidasan Suruhanjaya Penerbangan (Mavcom) yang menafikan dakwaannya bahawa Mavcom cuba memaksa bos AirAsia itu membatalkan 120 penerbangan AirAsia yang disediakan untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi.

Lihat Komen