malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
MB Perak ingatkan NGO tak ambil tindakan sendiri isu penjualan arak
Diterbitkan:  May 26, 2018 6:20 PM
Dikemaskini: 12:16 PM
ADS

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengingatkan agar NGO yang mempunyai masalah berhubung sesuatu isu tidak bertindak sendirian dan mengikut saluran yang disediakan bagi mengelakkan masalah lain timbul.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebuah NGO di Manjoi, Perak yang membantah penjualan minuman keras di pasaraya Speedmart 99 24 Mei lalu.

Menurut Ahmad Faizal, beliau faham sentimen NGO berkenaan memandangkan Kampung Manjoi merupakan kampung Melayu terbesar dalam negara.

"Namun, saya juga berpandangan perkara ini boleh disalurkan kepada pihak kerajaan dan bolehlah kita mengadakan rundingan dengan pihak pengusaha pasaraya.

"Apabila NGO ini bertindak sendirian, ianya boleh menimbulkan pelbagai perkara lain," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Tambun itu juga menasihatkan pengusaha pasaraya yang beroperasi di kawasan majoriti Melayu lebih sensitif dengan masyarakat sekeliling mereka.

"Saya memuji tindakan pengusaha pasaraya yang bertindak menerima bantahan tanpa berlaku perkara lain yang tidak baik.

"Nasihat saya kepada pengusaha lain yang beroperasi di kawasan perkampungan Melayu seperti di Manjoi untuk lebih sensitif kepada perasaan penduduk setempat," katanya.

Khamis lalu, sekumpulan individu mendatangi Speedmart 99 dan meminta pekerja pasaraya berkenaan mengosongkan peti sejuk yang mengandungi minuman keras.

Dalam klip video insiden berkenaan dapat didengar salah seorang daripada mereka menggesa agar tiada sesiapa menyentuh pekerja berkenaan bagi mengelakkan isu lain timbul.

Melalui kenyataan berasingan di Facebook, Ketua Pemuda PAS Tambun Hafez Sabri yang hadir dalam insiden itu berkata, sebelum ini terdapat bantahan daripada penduduk tempatan selain jawatankuasa masjid berhubung penjualan minuman keras di kampung itu.

Namun, katanya, tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan pasaraya berkenaan.

"Seolah-olah Speedmart 99 tidak sensitif dengan isu besar ini. Kenapa pihak SpeedMart 99 masih berdegil ingin menjual arak di sini?

"Masyarakat gugusan Manjoi akan sentiasa bersatu hati membantah dan mencegah segala perkara-perkara mungkar dan maksiat yg wujud di perkampungan melayu Islam terbesar di Negara ini," katanya.

Kampung Manjoi terletak di bawah parlimen Tambun. Sementara ADUN Manjoi merupakan Bendahari Agung AMANAH Asmuni Awi.

Lihat Komen