malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wajarkah pentadbiran Islam diletak di bawah Majlis Raja-raja?
ADS

ULASAN | Berikut ialah tulisan kedua saya menyentuh perancangan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mentadbir urus hal ehwal Islam di Malaysia.

Terlebih dahulu saya ingin merujuk kepada apa yang ditulis oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya ketika menyampaikan perutusan Ramadan pada 16 Mei 2018.

“Pilihan raya yang baru lepas ini akan membawa perubahan kepada pentadbiran negara dan pentadbiran agama Islam. Tekanan akan diberi oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih.”

Saya menyambut hasrat baik yang dinyatakan oleh perdana menteri bagi mewakili kerajaan baru Malaysia. Al-Quran dan sunnah bukan sekadar subjek penting dalam penyampaian kefahaman Islam sebenar, malah menjadi sumber asas kepada Islam itu sendiri.

Namun, bentuk perubahan yang disinggung Dr Mahathir itu masih lagi kabur, dan kebimbangan asal saya masih kekal. Secara khusus, apakah maksud beliau ialah berkaitan kajian semula terhadap peranan dan status institusi pentadbiran Islam di negara ini termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)?

Atau ia hanya berkaitan usaha untuk mempertingkatkan keberkesanan institusi-institusi tersebut?

Teras kedua manifesto HARAPAN sebagaimana yang dikeluarkan sebelum pilihan raya lalu ialah mereformasi institusi pentadbiran dan politik.

Reformasi istitusi pentadbiran

Ia merangkumi janji ke-11 HARAPAN iaitu mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya.

Masyarakat secara umumnya menyedari bahawa terdapat institusi-institusi tertentu yang disalah guna oleh kerajaan BN demi kepentingan sempit mereka. Tidak terkecuali, institusi pentadbiran Islam.

Kenyataan menarik yang dikemukakan oleh HARAPAN dalam manifesto mereka ialah, sekiranya berjaya memerintah, kerajaan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran raja-raja Melayu di tempat tertinggi bertepatan dengan konsep raja berperlembagaan.

Penegasan ini bukan sahaja memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak kerajaan malah kajian secara terperinci dan komprehensif mesti dilakukan.

Menyusun janji-janji memang jauh lebih mudah berbanding melaksanakannya kerana pelbagai aspek dan faktor mesti diambil kira dalam memuktamadkan sebarang pendirian kerajaan.

Apabila membicarakan soal perubahan pentadbiran Islam di negara ini, ia turut menyinggung kedudukan dan peranan raja-raja Melayu itu sendiri. Ini adalah kerana antara peranan utama mereka ialah mengetuai pentadbiran Islam di bawah bidang kuasa masing-masing peringkat sama ada di negeri atau di Wilayah Persekutuan.

Penubuhan institusi seperti majlis agama Islam negeri itu sendiri menunjukkan manifestasi kepada kuasa dan peranan yang dimainkan raja-raja Melayu dalam pentadbiran Islam.

Selain itu ia menjadi tanda kasih raja-raja Melayu kepada rakyat beragama Islam.

Di peringkat persekutuan pula, Jakim telah melalui sejarah yang panjang sejak penubuhannya. Keberadaan Jakim menepati semangat Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Bebas pengaruh politik kepartian

Sedikit berbeza bagi Jakim ialah apabila secara pentadbiran ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan ditadbir urus seorang menteri. Ia tidak terletak secara langsung di bawah Majlis Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertuan Agong.

Bersempena hasrat untuk memperkemaskan pentadbiran Islam di negara ini dan selari pula dengan janji ke-11 HARAPAN, timbul persoalan: apakah wajar untuk Jakim atau majlis pentadbiran Islam di peringkat persekutuan diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sebagai sebahagian daripada perubahan itu?

Saya percaya bahawa perbincangan terbuka berbentuk akademik, baik melalui wacana mahupun dialog di media elektronik sesuai diadakan bagi membahaskan perkara ini.

Mungkin pada skala lebih besar, kajian terperinci dan dialog pakar-pakar perlu diadakan bagi maksud tersebut dan disempurnakan melalui sebuah Majlis Penasihat Agama Islam yang ditubuhkan oleh perdana menteri.

Antara asas utama kepada idea tersebut ialah, ia dipercayai dapat mewujudkan sebuah persekitaran baru bagi pentadbiran Islam di negara ini, iaitu bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan urusan agama.

Umum maklum bagaimana institusi tadbir urus agama dan kakitangannya - atas nama menjalankan tugas dan amanah yang dipikulkan oleh menterinya - tidak mustahil secara halus digunakan bagi mencapai maksud politik pihak tertentu.

Sebagai contoh, program agama dianjurkan di suatu tempat yang mempunyai kepentingan peribadi menteri tertentu.

Amalan sebegini mesti dihentikan. Wang negara dan rakyat yang digunakan untuk setiap program agama perlu diurus dengan baik dan penuh tanggung jawab.

Manfaatnya mestilah diperolehi oleh semua warga Muslim merentasi perbezaan sempadan geografi dan jalur politik.

Saya suka berkongsi buah fikiran bernas yang pernah dizahirkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Sultan Azlan ketika bertitah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Malaysia (MAIN) yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2011.

Ketika itu baginda adalah pemangku Sultan Perak.

Pada kongres yang bertemakan Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah, baginda bertitah bahawa MAIN hendaklah berstatus sebebasnya daripada pengaruh dan campur tangan politik kepartian.

Peranannya hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.

Titah baginda: "Ia juga berperanan sebagai benteng terakhir dan terpenting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku dalam negara.”

Penubuhan Majlis Penasihat Agama Islam

Daripada titah tersebut, dapat kita hayati bahawa baginda dan raja-raja Melayu lain sememangnya menyedari keperluan untuk menekankan soal kecekapan dan kebijakan pengurusan institusi tadbir urus agama di negara ini.

Antara lain ia melibatkan kebebasan badan-badan berkenaan daripada pengaruh politik kepartian.

Justeru, idea meletakkan Jakim atau secara umumnya pentadbiran Islam di bawah Majlis Raja-Raja Melayu bukanlah suatu yang sangat janggal untuk difikirkan.

Malah ia seakan-akan usaha untuk memperkukuhkan peranan Majlis Raja-Raja itu sendiri dengan pentadbiran Islam.

Seperti yang saya nyatakan tadi, perbincangan terbuka wajar diadakan kerana setiap idea dan hasrat yang besar itu tidak terkecuali wujudnya sudut pandang yang positif dan negatif.


Baca Menaruh harapan isu Islam pada k'jaan HARAPAN


Lebih daripada itu perlu dilihat bagaimana hasrat berkenaan dimurnikan. Jakim itu sendiri adalah pihak yang mesti dilibatkan dalam apa-apa perbincangan berkaitannya.

Malah perdana menteri wajar membentuk Majlis Penasihat Agama Islam bagi mengkaji dan mencadangkan perubahan kepada pentadbiran Islam seperti yang ditulis beliau pada blognya, dan diuar-uarkan oleh HARAPAN melalui manifesto mereka.

Majlis itu nanti turut bertindak bagi mencadangkan formula yang holistik ke arah penyatuan ummah dan pengamalan agama Islam sebenar di negara ini.

Ramai tokoh agama peringkat nasional boleh dipilih untuk menduduki kerusi majlis tersebut. Langkah ini nanti akhirnya dapat menggambarkan keseriusan kerajaan HARAPAN dalam menjaga kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia.


OMAR MOHAMED ialah pemerhati politik dan pemegang sarjana Pengajian Islam. Kini berkhidmat dalam sektor kewangan Islam.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen