malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Zahid nafi arah jangan beri muka pada Raja Perlis
Diterbitkan:  May 25, 2018 12:15 PM
Dikemaskini: 4:19 AM
ADS

Datuk Seri Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah mengarahkan wakil rakyat BN memulaukan istiadat angkat sumpah menteri besar Perlis semalam.

"Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya.

“Kenyataan ini adalah palsu!

“Umno dan BN menghormati institusi diraja seperti yang termaktub dalam perlembagaan," kata naib presiden yang menjalankan tugas presiden Umno itu.

Berita palsu itu antaranya menyebut "kami bangkit" yang menyebut Zahid kononnya berkata:

"Saya telah pun arahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Perlis untuk boikot majlis angkat sumpah menteri besar Perlis hari ini.

“Kita tidak perlu beri muka atau hormat kepada Raja Perlis."

Menulis di Twitter, Zahid berkata kenyataan palsu itu disebarkan oleh pihak yang mahu melaga-lagakannya dengan istana.

"Rapatkan Saf dan terus komited dalam perjuangan walau apa pun dugaan mendatang," katanya yang dilapor bertemu raja Perlis sebelum lantikan dibuat.

Semalam, kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Datuk Ismail Kassim, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Menyifatkan Azlan tidak mempunyai sokongan majoriti ADUN dan tidak patuh pada keputusan BN negeri, Shahidan 'memecat' menteri besar dan mengisytiharkannya wakil bebas.

Pemulauan majlis itu juga menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dan menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka.

Ismail menafikan menjadi boneka sesiapa dan mencadangkan pihak lain dilantik selain beliau dan Azlan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen