malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri sangkal Najib: Dedah hutang RM1 trilion tak jejas pasaran
ADS

Tindakan mendedahkan butiran sebenar paras hutang Malaysia akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk mengawal selia serta memperkukuhkan lagi tahap kewangan negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guang Eng.

Menjawab kenyataan terbaharu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa tindakan mengumumkan angka RM1 trilion itu boleh menjejaskan keyakinan para pelabur, beliau sebaliknya menegaskan bahawa kerajaan mahu mengetengahkan perkara sebenar keadaan kewangan, mengenal pasti masalah serta mengemukakan langkah wajar bagi menanganinya.

"Kita mahu menjelaskan bahawa kerajaan baharu ini akan menjalankan pentadbiran berdasarkan kepada prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Keputusan mendedahkan perkara sebenar ini mungkin tidak disenangi Najib namun kita percaya ia akan membolehkan kerajaan mengambil langkah konkrit untuk mengawal selia dan memperkukuhkan lagi keadaan kewangan negara,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Lim turut menyangkal dakwaan Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, bahawa tindakan kerajaan baharu itu telah memberi kesan terhadap pasaran kewangan tempatan.

Sebaliknya, kata beliau, pasaran saham tidak mungkin terjejas semata-mata disebabkan oleh satu kenyataan kerajaan kerana pasaran negara lain seperti Thailand turut mengalami penyusutan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hutang RM1 trilion setakat 31 Disember, 2017, adalah termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion serta RM199.1 bilion membabitkan jaminan yang perlu dilunaskan kerajaan bagi pihak pelbagai entiti yang tidak dapat menunaikan obligasi membayar hutang terbabit.

“Jaminan kerajaan itu meliputi entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion); Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion); Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion); Malaysia Rail-Link Sdn Bhd (RM14.5 billion) serta bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggarkan RM38 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan juga telah memberi komitmen dan obligasi untuk membuat pembayaran seperti sewaan, penyelenggaraan dan bayaran lain untuk projek perkongsian awam-swasta seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital.

Profesionalisme Jabatan Perbendaharaan

“Komitmen pembayaran tersebut adalah khusus bagi membolehkan kerajaan Persekutuan menangani jaminan dan had hutang kira-kira RM201.4 bilion.

“Oleh itu, paras hutang kerajaan dan liabiliti adalah berjumlah RM1.08 trillion setakat 31 Disember, 2017,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa asas-asas ekonomi negara ini kekal kukuh dengan sektor kewangan adalah mantap, sektor perbankan memiliki modal mencukupi manakala pasaran mempunyai mudah tunai yang secukupnya.

"Kita percaya tindakan pentadbiran kerajaan baharu yang memberi tumpuan terhadap aspek kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan akan hanya mengukuhkan lagi keyakinan pelabur pada masa-masa seterusnya," katanya.

Selain itu, Lim turut memuji profesionalisme para pegawai Jabatan Perbendaharaan yang diterajui oleh Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Siti Zauyah Mohd Desa dalam menyediakan serta membentangkan kesemua maklumat berkaitan tanpa berasa takut atau pilih kasih.

- Bernama
 

Lihat Komen