malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pasukan Khas Siasatan 1MDB bermesyuarat kali kedua
Diterbitkan:  May 23, 2018 5:47 PM
Dikemaskini: 9:49 AM
ADS

Pasukan Khas Siasatan 1MDB, yang dibentuk bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes1MDB, bermesyuarat buat kali kedua di ibu pejabat SPRM diPutrajaya, hari ini.

Bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang merupakan seorang daripada anggota pasukan petugas khas itu dilihat memasuki bangunan SPRM itu pada kira-kira 2.36 petang, untuk menyertai mesyuarat yang difahamkan bermula pada 3 petang.

Selain Gani, turut menyertai pasukan petugas khas itu ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Hamid Bador.

Kenderaan Abu Kassim dan Gani dilihat keluar dari bangunan SPRM pada kira-kira 4.30 petang.

Abu Kassim ketika ditanya pemberita sama ada pertuduhan sudah disediakan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok, Abu Kassim menjawab: " Saya tidak akan menjawab soalan ini tapi satu kenyataan akan dikeluarkan oleh pasukan khas ini nanti."

Ditanya pula adakah beliau menemui bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo hari ini, Abu Kassim menafikan namun menurutnya individu berkenaan telah bertemu dengannya semalam tanpa mendedahkan butiran pertemuan itu.

Justo berada di bangunan SPRM hari ini, dan kelibat kehadirannya dirakam media tabloid berbahasa Inggeris (The Sun) versi dalam talian.

- Bernama

Lihat Komen