malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Petugas khas 1MDB jumpa Justo semalam
Diterbitkan:  May 23, 2018 5:40 PM
Dikemaskini: 9:58 AM
ADS

Pasukan petugas khas bagi menyiasat skandal 1MDB ada berjumpa dengan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo semalam.

"Jumpa dia semalam," kata anggota pasukan itu Tan Sri Abu Kassim Mohamed ringkas.

Pada jam 3 petang tadi difahamkan pasukan petugas khas berkenaan bermesyuarat berkaitan skandal 1MDB.

Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB itu akan memberi tumpuan antara lainnya bagi mendapatkan semula semua dana yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB dan disimpan di luar negara.

Selain Abu Kassim, pasukan itu terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang di kalangan petugas media bahawa Justo berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk merakamkan kenyataannya.

Ketika dihubungi, Justo enggan mengulas sama ada beliau telah atau akan berkongsi maklumat berkaitan dengan suruhanjaya itu.

Justo muncul di Malaysia minggu lepas tetapi dengan motif yang masih misteri. Setakat ini dia telah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PetroSaudi International, tempat Justo pernah berkhidmat, menjadi terkenal selepas terlibat dalam usaha sama dengan 1MDB.

1MDB melabur AS$1 bilion untuk usaha sama itu. Bagaimanapun AS$700 juta telah dilencongkan ke syarikat misteri Goodstar Limited.

Goodstar dimiliki oleh hartawan kontroversi Pulau Pinang Jho Low, berdasarkan nota Bank Negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Justo mendakwa peranannya membocorkan dokumen – kebanyakannya e-mel antara pegawai PetroSaudi, Low dan pemain-pemain warga Malaysia – menyebabkannya dia diperangkap dalam pendakwaan mengugut di Thailand.

Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia dan media arus perdana mendakwa Justo menjual maklumat kepada Sarawak Report yang kemudian “memanipulasinya”.

Selepas dipenjarakan 17 bulan, Justo mendapat pengampunan Raja Thai.

 

Lihat Komen