malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Johor peruntuk RM50k setiap ADUN, termasuk pembangkang
ADS

Kerajaan Johor memperuntukkan RM2.8 juta kepada 56 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu tahun ini sebagai langkah memastikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata setiap ADUN termasuk pembangkang akan menerima RM50,000 bagi pengurusan pusat khidmat wakil rakyat.

Keputusan itu yang dibuat selepas meneliti kewangan negeri adalah seiring dengan keutamaan kerajaan negeri ketika ini iaitu bantuan bersifat segera pasca PRU ke-14, bagi memastikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan politik, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang pertama hari ini.

Selain itu Osman berkata bersempena Ramadan dan kedatangan Aidilfitri, kerajaan negeri bersetuju mengagihkan bantuan sekali gus kepada 2,762 masjid dan surau melibatkan jumlah keseluruhan RM993,600.

Beliau berkata bantuan RM500 setiap masjid dan RM300 untuk surau berkenaan akan diberikan sebelum Aidilfitri melibatkan 825 masjid dan 1,937 surau.

"Tanpa mengetepikan mana-mana kaum, kerajaan negeri juga komited dan akan memperhalusi bentuk-bentuk sumbangan yang boleh disalurkan kepada masyarakat Cina, India dan lain-lain sama ada dari aspek pendidikan, pembangunan komuniti dan sebagainya," katanya, menambah prestasi kewangan negeri dalam keadaan baik sehingga mampu memberikan bantuan sekali gus tersebut.

Menurut Osman, kerajaan negeri hari ini turut membuat ketetapan menghapuskan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) bagi pemilikan rumah di negeri ini selaras dengan satu daripada janji 100 Hari Pakatan Harapan (PH) Johor.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menggantikannya dengan sistem lain, Osman berkata pihaknya akan melihat keperluan itu dari semasa ke semasa.

"Kita (kerajaan negeri) akan tengok keadaan dari semasa ke semasa, tetapi KMK ini memang tiada lagi. Mungkin kita akan tubuh jawatankuasa untuk teliti permohonan rumah selepas ini supaya dapat melihat ketelusannya.

"Kita tidak mahu letak satu dua orang yang membuat keputusan. Mungkin jawatankuasa ini kita pilih dalam kalangan wakil rakyat atau Exco," katanya.

Mengenai janji PH untuk membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor dalam tempoh lima tahun, Osman berkata kerajaan negeri akan berusaha menunaikan janji itu.

-Bernama

Lihat Komen