malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Buat kali pertama kerajaan Malaysia berubah. Sejak merdeka dan sejak penubuhan Malaysia, rakyat tidak pernah kenal kerajaan lain selain BN (dan Perikatan sebelum 1974).

Kini pembangkang buat kali pertama menjadi kerajaan. Atas nama Pakatan Harapan (HARAPAN), pembangkang tegar DAP kini berada bersama dengan BERSATU, PKR dan AMANAH, untuk mentadbir negara sebagai sebuah kerajaan baru.

DAP memenangi 42 daripada 47 kerusi parlimen yang ditandinginya, selain meraih 99 daripada 102 kerusi di peringkat dewan undangan negeri (DUN).

Prestasinya amat memberangsangkan dengan kejayaan 89 peratus untuk kerusi parlimen dan 97 peratus untuk DUN.

Harapan DAP adalah untuk membebaskan Malaysia daripada belenggu kleptokrasi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Bersama HARAPAN, matlamat ini telah dicapai.

Malah, sekarang kerajaan baru sedang melaksanakan usaha untuk mendedahkan kepada rakyat jenayah-jenayah kleptokrasi sepanjang era Najib.

Cita-cita DAP ialah untuk mereformasikan pengurusan kerajaan agar lebih cekap, bersih, amanah, telus dan bebas daripada korupsi.

Impiannya pula ialah untuk melihat rakyat mendapat peluang saksama, tiada diskriminasi kaum, agama, gender dan wilayah, dan mungkin suatu hari nanti, hak saksama jika direstui kaum majoriti.

Memang ia bukan tugas mudah untuk DAP, khususnya mencapai impian yang selama ini masih seperti angan-angan. Namun, pragmatisme DAP membolehkan ia berkerjasama dengan rakan-rakan HARAPAN, termasuk BERSATU yang merupakan platform untuk bekas-bekas pimpinan dan ahli Umno.

Kerana itu, kefahaman, pegangan dan amalan politik yang sentiasa berkisar tentang kaum, agama dan wilayah sentiasa menjadikan polemik tentang hal-hal pentadbiran panas, hangat dan kadang-kadang tegang.

Semua pihak memerlukan masa untuk lebih memahami keadaan, menangani perubahan dan melaksanakan segala janji PRU14.

Perubahan 180 darjah

DAP yang ditubuhkan pada 1966 terkenal sebagai pembangkang yang sentiasa menimbulkan kehangatan dalam arena politik negara atas kesungguhan mereka membongkar skandal dan krisis, menuntut hak dan kebebasan, serta mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Atas keberaniannya, terutama menangani hal-hal yang tidak begitu dipedulikan kaum majoriti, DAP dituduh sebagai parti “Cina, cauvinis, komunis” dan pelbagai fitnah lain.

Menjadi kerajaan bersama HARAPAN tidak menjanjikan apa-apa yang dapat membersihkan imejnya yang telah dicemari golongan ekstremis kaum serta agama.

Tiada siapa menyangka bahawa reformasi pentadbiran akan benar-benar dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Ramai di kalangan penyokong HARAPAN sendiri pada mulanya skeptikal dengan bekas perdana menteri yang kembali menjawat kedudukan lamanya baru-baru ini.

Siapa sangka Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan dijadikan Menteri Kewangan? Siapa sangka portfolio yang kali terakhir dipegang oleh pemimpin keturunan Cina pada 44 tahun lalu dikembalikan semula dalam kerajaan baru ini?

Dan siapa sangka Lim - apabila ditanya wartawan - dengan selamba menjawab: “Saya tidak anggap diri saya sebagai seorang Cina. Saya orang Malaysia”?

Apabila DAP mengemukakan Tawaran Baru kepada rakyat Malaysia pada 2016, ia menjadi petanda kesediaan parti itu untuk menyusur bersama arus perdana politik negara. Ketika itu, akibat kekangan rejim Najib, negara tersepit dalam ketegangan agama dan kaum dengan ruang demokratik disempitkan manakala ekonomi merosot tanpa idea-idea bernas dan segar.

Kesungguhan pimpinan DAP serta kesanggupan menerima Dr Mahathir membuka lembaran baru untuk pembangkang pada masa itu.

Ramai menyangka HARAPAN akan hancur berikutan pertembungan di antara DAP dan PAS yang semakin mesra Umno, namun pembangkang mendapat nafas baru apabila AMANAH ditubuhkan daripada pimpinan moderat PAS yang telah disingkirkan golongan konservatif.

Malah, HARAPAN menjadi lebih kukuh dengan penyertaan BERSATU pimpinan Dr Mahathir pada awal 2017.

Setara, bukan kingmaker

Dengan itu, cita-cita Tawaran Baru DAP untuk penalaan semula politik (political realignment) yang diusahakan oleh Pengarah Pendidikan Politiknya, Liew Chin Tong, berjaya dicapai.

Ini membuka ruang untuk mengejar cita-cita menjadikan DAP sebuah parti arus perdana untuk semua rakyat Malaysia.

Dengan kemampuannya menjadi parti arus perdana, DAP dapat berkongsi idea bersama pimpinan HARAPAN untuk memastikan kerajaan baru mengutamakan kepentingan serta keperluan kaum marhaen, selaras dengan pendiriannya sebagai parti untuk golongan 99 peratus daripada semua latar belakang.

Tawaran yang DAP kemukakan juga merangkumi lembaran baru untuk Sabah dan Sarawak, untuk wanita dan anak muda, serta untuk melahirkan generasi yang lebih prihatin dan berkongsi hasrat untuk membebaskan Malaysia daripada kekangan undang-undang zalim.

Sama ada semua ini akan berjaya dibawa bersama melalui kerajaan baru atau tidak, hanya masa akan menentukan.

DAP merupakan satu daripada rakan kongsi setara HARAPAN. Ia bukan rakan dominan, malah ia bukan kingmaker.

Sebagai kerajaan, DAP sedar segala-galanya perlu menjangkaui politik kepartian.

Ia adalah soal pembinaan semula negara, merupakan usaha memulihkan keyakinan, bakal menentukan hal tuju negara yang dikongsi bersama dengan rakyat pelbagai kaum, pelbagai kerenah, pelbagai masalah.

DAP yang selama ini merasa kepedihan serta duri dan air mata sepanjang lebih separuh abad perjuangannya kini melalui era baru.

Ia bukan lagi pembangkang. DAP perlu memberi tumpuan untuk membangunkan semula Malaysia. Sememangnya ia bukan mudah, namun ia juga tidak mustahil.


WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, pemerhati politik dan penggemar muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen