malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam PAS: Kenyataan SPRM prejudis pada Najib
Diterbitkan:  May 22, 2018 4:14 PM
Dikemaskini: 8:24 AM
ADS

Peguam PAS Wan Zainuddin Wan Musa menyifatkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shukri Abdull berkaitan 1MDB bersifat prejudis terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Wan Zainuddin berkata, ia tidak patut dikeluarkan pada hari yang sama Najib dipanggil untuk diambil keterangan oleh SPRM.

“Kenyataan ini amat tidak perlu dikeluarkan secara terbuka kerana ia akan secara langsung mewujudkan persepsi bahawa memang wujud campur tangan politik dalam kes ini sebelum ini,” katanya.

Dalam tulisan di Facebook yang dikongsi oleh PAS Selangor, Wan Zainuddin berkata Shukri patut merekodkan keterangannya dalam bentuk akuan bersumpah dan membuat pendedahan secara tertutup kepada jawatankuasa khas siasatan 1MDB.

“Perkara paling asas perlu beliau lakukan ialah membuat laporan polis dan mendedahkan dalam laporan polis nama nama individu yang dikatakan mengugut beliau.

“Biar polis membuat siasatan. Haiya!Ini macam manyak kacau la bos!” katanya.

Shukri dalam sidang media hari ini membuat pelbagai kenyataan berani, termasuk mendakwa polis mahu menangkapkan atas alasan berkonspirasi terhadap kerajaan pada 2015.

Beliau juga mendedahkan, di tengah-tengah siasatan 1MDB, beliau diikuti dan gambarnya diambil ketika berada di Washington DC, Amerika Syarikat (AS).

Shukri juga mendedahkan mendapat bantuan perlindungan dari Jabatan Polis New York (NYPD) yang memperuntukkan tiga pengawal bagi menjaganya.

Lihat Komen