malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau perlu berbincang dengan pegawainya terlebih dahulu sama ada akan membuka kembali kertas siasatan berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Saya perlu lihat kembali dan berbincang dengan pegawai saya," katanya ringkas pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pihak polis akan membuka kembali siasatan terhadap pembunuhan wanita Mongolia itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung beliau diekori semasa di Washington, Fuzi berkata beliau akan meneliti dakwaan berkenaan.

"Saya sebenarnya tidak tahu mengenai perkara ini kerana ia berlaku bukan pada waktu saya (menjadi ketua polis). Tetapi saya akan melihat perkara ini secara serius," kata Fuzi.

Bagi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, beliau pula menasihatkan Shukri membuat laporan polis berhubung dakwaannya hari ini agar siasatan dapat dilakukan.

"Kalau Shukri ada beberapa maklumat, dia patut buat laporan kepada pihak polis dan polis akan menyiasat," katanya.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan, Shukri yang sebelum ini merupakan timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM memberitahu beliau menjadi mangsa ‘gangguan’ ketika menyiasat jejak wang 1MDB pada tahun 2015.

Menurutnya, pada 31 Mei 2015 beliau berlepas ke Washington bagi mendapatkan perlindungan bagaimanapun beliau memaklumkan kononnya akan ke Arab Saudi.

Semasa di Washington, Shukri mendakwa beliau telah diikuti dan kemudian menghantar gambar orang berkenaan kepada bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Lihat Komen