malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah tangguh bicara kes rasuah Guan Eng
ADS

Perbicaraan rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan selepas tertuduh mengemukakan representasi baru dengan peguam negara baru yang bakal menggantikan Tan Sri Apandi Ali.

"Wujud anomali memandangkan tempoh khidmat peguam negara sekarang berakhir Julai ini. Kami mahu peguam negara baru yang membuat pernyataan bagi kes ini," kata peguam Lim, Ramkarpal Singh di Mahkamah Tinggi George Town hari ini.

Rampkarpal juga memohon perbicaraan ditangguh kerana Lim dan ketua pasukan peguamnya Gobind Singh Deo kini berada di Putrajaya, untuk mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan dan menteri multimedia dan komunikasi.

Dengan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU ke-14, peguam negara baru dijangka akan dilantik pada Julai ini.

Peguam Phang, V Sithambaran juga membuat permohonan sama untuk anak guamnya.

"Kami juga telah menghantar dokumen baru sebagai bukti kepada mahkamah," katanya.

DPP belum terima

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud berkata pihaknya belum menerima bukti baru seperti yang didakwa peguam Phang.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung pasukan pembelaan yang mahu mengemukakan representasi baru dan seterusnya pengguguran pendakwaan terhadap Lim dan Phang (gambar).

Sithambaran kemudian mengingatkan mahkamah bahawa kerajaan baru telah membuat kenyataan semua dakwaan bermotifkan politik akan disemak semula.

"Jadi kami minta kes ditangguhkan kerana adil bagi peguam negara baru untuk mengendalikan kes ini," katanya.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan 30 Julai ini untuk pengurusan kes.

"Ini adalah kes jenayah di mana tertuduh perlu hadir ke mahkamah. Namun, hari ini salah seorang tertuduh mengangkat sumpah sebagai menteri.

"Banyak perubahan berlaku. Pihak pembelaan mahu pernyataan baru dibuat kepada peguam negara baru. Mahkamah tidak boleh hentikannya, dan saya tiada pilihan selain menangguhkan kes ini," katanya.

Sebelum ini, perbicaraan yang sudah berlangsung selama dua hari ditangguh ke hari ini ekoran PRU ke-14.

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen