malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
C4 gesa larangan masuk peguam kes Scorpene ditarik
Diterbitkan:  May 18, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 12:53 PM
ADS

Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata kerajaan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kini perlu membenarkan peguam Perancis, William Bourdon untuk memberi taklimat kepada beliau mengenai siasatan kes Scorpene yang sedang berlangsung di Paris.

"Langkah ini membolehkan beliau memasuki Malaysia dan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai perkembangan terkini kes itu dan langkah seterusnya yang akan diambil untuk memastikan kelicinan kes itu di mahkamah Perancis," kata Gabriel.

"Penarikan balik larangan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan gambaran penuh skandal rasuah Scorpene.

"Ini adalah kunci untuk mendedahkan seluruh kebenaran di sebalik skandal rasuah yang akan memudahkan usaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Bourdon dan sedang menunggu jawapannya.

Bourdon dihalau kembali ke Perancis selepas bercakap di suatu majlis forum bagi mengutip dana di Pulau Pinang pada bulan Julai 2011.

Skandal rasuah Scorpene berkisar seputar pembayaran komisen dan sogokan berjumlah € 114 juta (RM570 juta) yang dibuat oleh syarikat pembina kapal Thales dan DCNS kepada pegawai Malaysia melalui sebuah syarikat yang dipanggil Perimekar Sdn Bhd (Perimekar).

Perimekar ialah sebuah syarikat yang dikuasai pegangannya oleh penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Mahkamah Perancis telah mendakwa lima individu termasuk Abdul Razak terlibat dalam skandal itu, yang mana mereka dituduh membayar sogokan kepada pegawai Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Gabriel menyebut dakwaan Mahkamah Perancis terhadap Abdul Razak (gambar) pada 18 Julai 2017.

Abdul Razak, rakan sekutu rapat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kemudiannya didakwa berkaitan dengan skandal rasuah kapal selam Scorpene. Mahkamah Perancis mendakwa ia berkaitan sebuah perjanjian yang ditandatangani pada 2002 ketika bekas perdana menteri itu menjawat menteri pertahanan.

"Kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu menarik balik larangan masuk William Bourdon dari memasuki Malaysia," kata Gabriel.

Gabriel berkata Bourdon ialah seorang peguam Perancis yang bertanggungjawab terhadap kes Scorpene di mahkamah negara itu.

Kes pindah mahkamah lebih tinggi

"Beliau dan pasukan peguamnya pakar dalam hak asasi manusia dan tanggungjawab sosial korporat serta telah memberikan nasihat dan perkhidmatan undang-undang secara pro bono berkaitan dengan kes itu," katanya.

"Perlu diperhatikan kes berkenaan masih berjalan di Mahkamah Perancis dan hanya menunggu masa prosidingnya akan dipindahkan ke mahkamah yang lebih tinggi yang mana mereka yang terlibat akan didakwa," katanya.

"Memandangkan komitmen kuat yang diikrarkan kerajaan Pakatan Harapan untuk menghapuskan rasuah, kami mendesak agar larangan perjalanan masuk William Bourdon ke Malaysia segera ditarik," kata Gabriel.

Kenyataan C4 ini turut ditandatangani bersama pegawai penyelidikan undang-undang C4, Fadiah Nadwa Fikri.
 

Lihat Komen