malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Beberapa pemimpin dan penyokong Umno terus menemui Datuk Seri Najib Razak di banglo kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini manakala polis meneruskan siasatan buat hari ketiga di premis berkenaan.

Antara yang mengunjunginya pada sebelah pagi adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan bekas menteri pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khaled.

Kedua-dua mereka kemudian meninggalkan banglo itu tanpa bercakap dengan wartawan.

Peguam M Puravalen yang meninggalkan kediaman Najib pada jam 1.10 petang memberitahu media bahawa Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berada dalam keadaan baik.

Katanya, kehadirannya hari ini sebagai mewakili Rosmah.

Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kes mana yang beliau akan mewakili Rosmah.

"Saya tidak boleh memberi komen, kamu perlu tanya polis," katanya.

Tidak pasti sama ada polis telah memulakan siasatan terhadap Rosmah.

Sebelum itu, ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kota Raja, Nazilah Idris berkata Najib dilaporkan sihat dan tenang walaupun polis berterusan menggeledah kediamannya.

“Alhamdulillah, beliau tabah dan kuat menghadapi dugaan walaupun tidak putus disoal siasat pihak polis,” katanya.

Menurut Nazilah beliau juga terharu melihat Najib yang tidak menghalang polis menjalankan tugas.

“Kalau seseorang itu bersalah ataupun rasa bersalah dan buat salah, mesti dalam keadaan yang tak boleh tenang macam ini.

“Mengapa bekas pemimpin yang banyak berjasa kepada negara dilayan sebegini seolah-olah seperti penjenayah besar? Jadi saya merayu pada kerajaan sekarang untuk berlaku adil,” katanya kepada pemberita.

Pada kira-kira pukul 1.00 petang tadi, Najib bertolak dari kediamannya untuk menunaikan solat Jumaat di Surau Ar Rahman di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu sambut oleh Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mereka bertiga kemudian bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain bersama jemaah lain.

Suasana suram juga jelas kelihatan, namun Najib sempat melemparkan senyuman apabila bersalaman dengan para jemaah.

Lihat Komen