malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nik Omar: Kelantan cuma 'jambatan' rakyat ke Putrajaya
ADS

WAWANCARA | Bertanding - dan kalah - dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu Nik Omar Nik Abdul Aziz tetap menerima keputusan itu dengan rasa syukur.

Menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka itu, kegagalan mereka di Kelantan, kata Nik Omar, adalah nikmat Allah yang perlu disyukuri segenap lapisan masyarakat.

Malaysiakini sempat bertemu tokoh yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran Ustaz Nik Omar itu beberapa hari lalu. Berikut adalah petikan wawancara berkenaan.

Malaysiakini: Dengan perkembangan semasa negara dan pembabitan secara langsung dalam PRU ke-14 apa yang boleh ustaz kongsikan dengan rakyat Malaysia?
Nik Omar: Secara ringkasnya matlamat kita dalam apa juga bidang kita ceburi adalah sama, iatu menyumbang untuk Islam sebagai hamba Allah. Tetapi apabila masuk bidang politik ia lebih luas, cabaran lebih besar kita kena hadapi dan bila kita buat keputusan untuk terlibat dalam politik, maknanya insya-Allah kita akan teruskan.

Asasnya adalah memberi sumbangan yang kita boleh bagi setakat kemampuan kita untuk Islam iaitu rahmat untuk seluruh alam.

Malaysiakini: Setakat ini ustaz berpuas hati dengan sumbangan (politik) walaupun dalam tempoh yang singkat dan dengan perkembangan politik hari ini?
Nik Omar: Umumnya alhamdulillah, tetapi saya masih rasa banyak lagi ruang yang boleh diberikan sumbangan. Setakat yang kita bagi ini alhamdulillah, macam sumbangan kita membantu melakukan perubahan pemerintahan seluruh negara. Itu yang menjadi matlamat dan kita berjaya capai.

Ambo (saya) secara peribadi termasuk orang yang menyumbang ke arah usaha menjadikan negara diperintah oleh pasukan baru, namun kita tetap terikat dengan janji dan manifesto terutamanya peringkat negara.

Malaysiakini: Apa pengalaman paling mahal sepanjang penglibatan pada PRU ke-14?
Nik Omar: Oleh kerana saya terlibat secara rasmi dan dipilih sebagai calon bagi DUN Chempaka, dalam tempoh sembilan atau 10 hari, saya (juga) ke luar Kelantan dengan tujuan utama untuk memberi kesedaran umum dan keyakinan kepada pengundi bahawasanya sudah sampai masa untuk rakyat buat perubahan dalam pemerintahan negara.

Begitu juga di peringkat negeri dan DUN. Tempoh berkempen itu menjadi pengalaman cukup berharga sebab kali pertama saya terlibat secara langsung (dalam pilihan raya). Saya terdedah dengan realiti termasuk kehidupan rakyat - kalau kita nak fokus di DUN Chempaka.

Bermula dari subuh hingga awal pagi, ia meletihkan tetapi ada kepuasan tersendiri.

Malaysiakini: Ketika kerajaan persekutuan bertukar tangan, di Kelantan HARAPAN gagal menawan hati pengundi, malah tewas di semua kerusi. Pada pandangan ustaz, apa faktor yang menjadi penyebabnya?
Nik Omar: Pertamanya kita kena akur dengan pilihan rakyat Kelantan dan kita minta supaya kerajaan negeri dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin serta mengutamakan rakyat tanpa memilih bulu.

Seperti itu jugalah kita minta di Putrajaya supaya adil, tidak terhenti kepada rakyat yang menyokong sahaja, sebaliknya semua.

Keduanya kita kena buat post-morterm, kaji dengan terperinci punca-puncanya tetapi secara peribadinya saya tak boleh sebut sebab kita kena rai pandangan daripada parti. Tetapi ini memberi makna wujudnya kelemahan yang kita kena terima dan kita cuba perbaiki.

Kemungkinan antara faktornya rakyat masih yakin dengan kerajaan (Kelantan) yang ada sekarang ini dan pada masa sama kita kena bagi penjelasan dan pendedahan bahawasanya hasrat kita adalah untuk penambahbaikan dalam pemerintahan.

Sebab, kita tengok masih banyak ruang kita boleh perbetulkan, dan semuanya untuk kebaikan rakyat.

Malaysiakini: Susulan tewas di peringkat negeri dengan agak teruk, apakah ustaz rasa ada tersalah langkah dengan rancangan menyertai PRU ke-14?
Nik Omar: Sebenarnya perbincangan asas dengan Pengerusi HARAPAN Kelantan, Husam Musa, memang kita fokus utama ke arah Putrajaya. Itu asas perbincangan ambo dengan dia. Negeri ini cuba sebagai jambatan, tetapi asas penyertaan, perbincangan dan strategi kita ialah Putrajaya.

Jadi sebab itu ambo rasa seronok, gembira dapat menyumbang ke arah perubahan seiring kehendak rakyat sendiri. Dan kita tidak nafi itu semua ketentuan Allah, cuma kita panggil ia sebagai sebab musabab.

Jadi kekalahan di peringkat negeri, ambo tengok kawan-kawan yang lain tenang saja, tak ada masalah apa sebab comel sangat apa yang Allah tentukan.

Sebab kalau kita menang semua negeri, Malaysia kita menang mungkin akan timbul perasaan riak, takbur dan sombong.

Tetapi (sekarang) Allah Taala bagi keseimbangan yang baik, ada tempat kita kena muhasabah diri, ada tempat peluang yang diberi itu kita nak pastikan akhirnya kembali pada rakyat.

Malaysiakini: Bagaimana ustaz melihat berlakunya perubahan di peringkat Malaysia dengan kejayaan HARAPAN menumbangkan BN?
Nik Omar: Itu sebenarnya termasuk satu nikmat yang Allah bagi dan antaranya (sebabnya) kuasa rakyat. Rakyat Malaysia sudah berani keluar dari kepompong ketakutan, sudah berani buat perubahan seperti yang kita libat sebelum ini berlaku di negara-negara lain.

Alhamdulillah kini rakyat Malaysia pula berani buat perubahan.

Jadi ia satu perkembangan positif yang menarik dan nikmat Allah beri kepada kita. Jadi tinggal lagi sekarang, kerajaan yang ada ini mesti menghormati rakyat. Bukan kerajaan yang minta rakyat hormat, tapi kerajaan kena hormat pada rakyat.

Ini bermakna bentuk hormat itu ialah dengan menghormati kehendak rakyat dan memenuhi manifesto kita, tawaran khususnya di peringkat nasional serta janji-janji 100 hari. Itu penting.

Malaysiakini: Apa yang ustaz mahu lihat dalam kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad?
Nik Omar: Saya rasa Tun tidak bersendirian, kita rasa dia juga bergantung kepada keputusan majlis presiden dia peringkat parti, dan peringkat negara melalui kabinet.

Jadi sekarang kita beri peluang kepada Dr Mahathir dan pasukannya membentuk kabinet terbaik, cuma ia tak boleh mengambil masa terlalu lama. Kita harap dalam tempoh seminggu dari sekarang beliau boleh selesaikan semua kerana rakyat ternanti-nanti, tetapi kita juga tak perlu tergopoh-gopoh.

Yang penting jika berlaku kelewatan pun (biarlah) kerana perbincangan yang dilakukan antaa empat parti dalam HARAPAN.

Sempena Ramadan ini saya berharap umat Islam menyambutnya dengan rasa syukur kepada Allah dan perjalanan negara ini berada di landasan yang baik.

Malaysiakini: Secara umum sepanjang terlibat dalam PRU ke-14 macam mana dengan tahap kepuasan apabila ustaz dilihat sebagai tokoh penting yang berjaya tarik ramai penyokong?
Nik Omar: Kalau di peringkat negeri terutamanya di Chempaka kepuasan itu kerana kita dapat selami kehidupan rakyat. Ia ada kaitan dengan tanggungjawab kita sebagai Muslim selain daripada tanggungjawab dipilih sebagai calon.

Di peringkat Malaysia, ambo secara peribadi agak terkejut dengan penerimaan yang tinggi dan baik termasuk di kalangan bukan Islam. Apa yang ambo cakap sebenarnya sebelum itu pun ambo dah cakap.

Tetapi apabila rakyat boleh menerima (perubahan) termasuk daripada bukan Islam, kita bersyukur kepada Allah. Yang penting ia bukan kepentingan individu atau kelompok.

Pada ambo sendiri sebenarnya ada keyakinan bahawasanya HARAPAN dapat perintah Malaysia. Cuma ia perlu perakuan ditunjukkan secara jelas oleh rakyat Malaysia.

Ketika saya pergi ke Putrajaya, kita lihat isyarat jelas bahawa seluruh rakyat Malaysia mahu lakukan perubahan.

Malaysiakini: Apa nasihat ustaz kepada rakyat yang sudah buat pilihan pada PRU ke-14?
Nik Omar: Pertamanya kita kena rasa pilihan yang kita buat adalah tepat dan kita tak perlu terlalu gopoh, kena bagi peluang kepada kerajaan baru di bawah pimpinan Dr Mahathir serta seluruh kepimpinan.

Kita kena bagi peluang untuk mereka membentuk pasukan yang mantap, terbaik dan kita berkeyakinan dapat memberi khidmat terbaik. Asasnya ialah yang kita janjikan melalui manifesto.

Kedua, khusus kepada umat Islam kita kena banyak bersyukur kepada Allah, kita kena jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan seluruh umat Islam dan bukan Islam.

Jadi kemenangan ini bukan untuk kita bangga, bukan untuk kita rasa tinggi diri tetapi perlu rasa bertanggungjawab.

Ertinya apabila kita dah menang, pengisian terhadap kemenangan itu lebih berat. Jadi ketika kita meminta sesuatu, kita kena fikir apa sumbangan kita seterusnya.

Sekarang ini apabila kita menang bukan kita jadi penanti apa akan diperolehi tetapi sebaliknya kita kena terus menyumbang tenaga, idea, pemikiran, kewangan dan usaha kita.

Yang penting bagi orang Islam kita kena pastikan apa yang kita buat ini mendapat reda Allah. Untuk bukan Islam, kita rasa mereka menyumbang untuk sebuah negara yang kita diami bagaimana ambo sebut, kita adalah warganegara Malaysia, masing-masing ada hak dan perlu hormat-menghormati, akur dengan perlembagaan yang sebenarnya telah dipersetujui oleh majlis presiden yang merangkumi empat parti dalam HARAPAN.

Malaysiakini: Sempena dengan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin ustaz boleh kongsikan jika ada pengalaman bersama beliau?
Nik Omar: Dengan Datuk Seri Anwar ini apabila dia ziarah almarhum ayahanda tok guru, biasanya ambo ada sekali pada kebanyakan masa.

Dari situ saya boleh lihat watak dia, semangat waja, keperibadian dan antara gelaran terakhir yang tok guru bagi pada Anwar ini ialah "anak jantan". Itu antara gelaran terakhir, kalau orang Kelantan anak jantan ini sifat dia macam Hang Tuah, Hang Jebat misalnya.

Jadi ambo sebagai rakyat Malaysia dan individu Muslim rasa amat bersyukur atas pembebasan beliau dan kita berterina kasih banyak kepada rakyat Malaysia yang memudahkan pembebasan beliau.

Kita juga merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan dalam memberi pengampunan dengan tempoh yang begitu cepat. Ia juga menggambarkan ketelusan dan kewibawaan Dr Mahathir sendiri.

Malaysiakini: Di kesempatan ini saya sampaikan salam daripada rakan-rakan pembaca Malaysiakini khususnya sekumpulan pelajar Malaysia di Jerman yang selalu mengikuti perkembangan ustaz di sini.
Nik Omar: Waalaikumussalam. Alhamdulillah, ambo melihat mereka ini mungkin teruja kerana masih teringat dengan aura Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Ambo hanya anak Tok Guru, tidak setaraf dengan Tok Guru.

Cuma setakat apa yang kita boleh berkongsi, jadi kalau mereka rasa aura itu ada sedikit sebanyak - alhamdulillah. Dan ambo tahu diri ambo ini banyak kekurangan dan kita tak runsing sebab tidak bergerak bersendirian, tetapi bergerak dalam satu pasukan sama ada di Kelantan atau peringkat Malaysia.

Lihat Komen