Anggota masyarakat sivil hari ini membidas pihak polis kerana menahan seorang lelaki yang didakwa menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beberapa peguam termasuk bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan di bawah kerajaan baru.
"Polis perlu hargai bahawa kita memiliki kerajaan yang baru sekarang.
"Salah satu janjinya adalah untuk membuka ruang demokrasi. Jika dia ditangkap hanya kerana mengkritik PM, maka ia benar-benar bercanggah dengan segala yang telah dijanjikan oleh pentadbiran baru itu.
"Mungkin polis bertindak kerana kebiasaan. Mereka perlu menghapuskan tabiat itu dan sedar bahawa perkara itu sangat berbeza sekarang," kata Ambiga kepada Malaysiakini.
Peguam Syahredzan Johan yang turut bersetuju dengan pendapat berkenaan berkata polis "tidak sepatutnya mengambil tindakan yang berlebih-lebihan."
Polis Langkawi hari ini dilapor menahan seorang lelaki berhubung tulisan di Facebook yang dikatakan menghina perdana menteri.
Baca: Polis tahan lelaki kerana hina Dr M
'Pembaziran sumber polis'
Sementara itu pengarah eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen berkata penangkapan itu merupakan pembaziran sumber polis.
"Saya harap Mahathir akan beritahu pihak polis bahawa beliau tidak memerlukan 'perlindungan' mereka daripada komen-komen yang dibuat di media sosial.
"Mahathir telah mentadbir sekarang, dan saya harap polis tidak lagi membazirkan sumber untuk menyiasat kes-kes remeh itu," kata Paulsen.
Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menggesa polis segera membebaskan lelaki tersebut.
"Saya yakin Tun (Mahathir) mahu individu itu dibebaskan. Beliau telah digelar dengan pelbagai gelaran jahat sebelum ini, seperti mahazalim dan mahafiraun, dan beliau selalunya hanya ketawa," Kata Syed Saddiq.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut membuat gesaan yang sama di Twitter.
"Bebaskan dia. Janganlah kita buat perkara yang sama," katanya.
Syed Saddiq berkata penangkapan itu dilakukan kerana 'Akta Sakit Hati' pada era Najib - satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ketua Pemuda BERSATU itu berkata beliau berharap sesi Parlimen akan datang akan meneliti agar undang-undang tersebut akan dimansuhkan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua [pula berkata penangkapan itu menunjukkan polis perlu melaksanakan pembaharuan dalam pasukan itu.