malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir arah tiada lagi ucapan salam 1Malaysia
Diterbitkan:  May 16, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 11:23 AM
ADS

Slogan 1Malaysia akan digantikan dengan slogan baru yang bersesuaian, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita mungkin terpaksa tukar kepada slogan lain. Namun pada waktu ini, kita belum kenal pasti slogan yang sesuai," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, ucapan "Salam 1Malaysia", "Salam Negaraku" dan "Salam Negaraku Malaysia" perlu dihentikan. Ia digantikan dengan sama ada "Assalamualaikum" atau "Salam Sejahtera".

Slogan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Razak pada 2 April 2009. Intipati gagasan itu adalah idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Walau bagaimanapun sesetengah pihak mendakwa ia jelas bercanggah dengan pendirian Najib dan pentadbirannya yang tidak memperjuangkan hak bagi kaum lain.

Ia dikatakan antara rasa tidak puas hati sehingga menyaksikan BN buat pertama kali dalam sejarah negara ditumbangkan oleh Mahathir pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini menggunakan slogan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” manakala Mahathir pula semasa menjadi.perdana menteri memperkenalkan antara lain slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” serta “Wawasan 2020".

Setakat ini, perdana menteri tidak memaklumkan tentang slogan baru itu dan bila ia akan diperkenalkan.

Pada sidang medianya itu, Mahathir berkata beliau akan memulakan tugas sebagai perdana menteri di Kompleks Jabatan Perdana Menteri pada minggu depan.

Pada ketika ini, beliau menjalankan tugas-tugas dan mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 10 Mei lalu.

Sementara itu, dokumen bocor yang diperolehi Malaysiakini mendapati Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan kepada semua kakitangannya mengenai pertemuan antara Mahathir dan ketua setiausaha semua kementerian pada Isnin lalu.

Pegawai KPDNKK mengesahkan kandungan mesej tersebut.

Seorang ketua setiausaha kementerian lain, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kandungan mesej itu adalah apa yang mereka bincangkan dengan Mahathir pada Isnin lalu.

Menurut dokumen itu, amalan memaparkan logo 1Malaysia pada kemeja korporat, sijil dan barangan lain juga diarahkan dihentikan.

Dokumen tersebut juga berkata kakitangan awam diminta berhenti menggunakan pin 1Malaysia dan Negaraku.

Arahan lain termasuk:

  • Program Kedai Rakyat 1 Malaysia 2.0 akan dihentikan
  • Program Jualan Sentuhan Rakyat akan dihentikan
  • Suruhanjaya Koperasi Malaysia tidak lagi mengutip GST bagi perkhidmatannya
  • Mesyuarat Lembaga Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan jawatankuasa-jawatankuasa yang mempunyai lantikan secara politik ditangguhkan.
  • Subsidi petrol bersasaran akan diperkenalkan

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen