malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya Sunni, bukan Syiah - KM Melaka
Diterbitkan:  May 15, 2018 1:04 PM
Dikemaskini: 5:23 AM
ADS

Ketua Menteri Melaka yang baru Adly Zahari menafikan dirinya berfahaman Syiah, sebaliknya menjelaskan beliau tetap berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru, Adly berkata, isu sama ada beliau cenderung terhadap ajaran Syiah tidak berbangkit.

"Saya rasa perkara ini tidak berbangkit kerana saya berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak perlu dipanjangkan," katanya yang dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Isu Adly berfahaman Syiah menjadi tular selepas beliau diumumkan sebagai ketua menteri Melaka yang baru.

Dakwaan itu timbul selepas netizen di laman sosial membangkitkan isu berhubung tulisannya di Facebook yang cenderung memetik kata-kata daripada imam yang dikaitkan dengan ajaran berkenaan.

Perkara itu turut dibangkitkan pensyarah dan penceramah ilmu hadis terkenal Dr Rozaimi Ramle di Facebooknya Sabtu lalu.

Menurut Rozaimi, ramai yang bertanya kepada dirinya tentang isu ketua menteri Melaka berkenaan yang cenderung terhadap Syiah.

Rozaimi menegaskan, isu seseorang terlibat dengan Syiah adalah serius dan menggesa agar Adly menyatakan pendiriannya.

"Ingin saya tegaskan bahawa isu keterlibatan seseorang dengan akidah Syiah adalah sangat serius kerana ia merupakan isu akidah terutamanya apabila ia dikaitkan dengan pemimpin negeri.

"Justeru, saya merasakan keperluan YAB (yang amat berhormat) Ketua Menteri Melaka yang baru untuk menyatakan pendirian beliau segera dalam isu ini supaya rakyat dapat penjelasan sewajarnya. Jangan biarkan rakyat tertanya-tanya dalam isu ini," kata Rozaimi.

'Ada ilmuan agama sebar fitnah'

Sementara itu, Rozaimi menerusi Facebooknya semalam berkata beliau difahamkan ada 'ilmuan agama' cuba mendekati pimpinan kerajaan bagi menyebarkan fitnah kepada pihak tertentu.

"Saya mendapat berita sudah ada usaha ilmuwan agama yang cuba mendekati pimpinan kerajaan baru dan menyebarkan fitnah kepada golongan tertentu dengan labelan yang tidak sewajarnya".

"Saya teringat kisah Ghiyath bin Ibrahim yang rela mencipta hadis palsu semata-mata untuk mengampu pemerintah pada masa itu untuk mendapatkan kedudukan.

"Justeru, apalah sangat memfitnah orang lain dengan gelaran wahabi/pro liberal tanpa bukti jika hadis palsu pun rela dilakukan," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Rozaimi turut memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang baru pilih rakyat pada pilihan raya umum lalu supaya berhati-hati dengan fenomena 'pengampu dan penjilat'.

"Kepada pihak pimpinan kerajaan yang baru, sila berhati-hati dengan fenomena ini. Kita mahukan Malaysia yang baru, jauh dari pengampu dan penjilat.

"Naratif agama yang patut dibawa ialah naratif yang segar, terbuka, akademik dan progresif. Moga sama-sama kita dapat membina negara.

Lihat Komen