malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ABIM gesa k'jaan suarakan pandangan Malaysia dalam isu Palestin
Diterbitkan:  May 15, 2018 12:19 PM
Dikemaskini: 4:24 AM
ADS

Badan Bukan Kerajaan (NGO) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan untuk menyuarakan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin yang semakin meruncing terutama selepas pengisytiharan Amerika Syarikat terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan pemindahan kedutaan Amerika, semalam.

Presiden ABIM Mohamad Raimi Ab Rahim berkata ketegasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memperjuangkan isu Palestin pasti akan didengari dan didukung oleh masyarakat antarabangsa.

"Rancangan Amerika dan Israel itu merupakan manifestasi pengulangan episod baharu 'malapetaka' yang diratapi jutaan rakyat Palestin sejak 70 tahun lalu. Lebih memburukkan ialah pembunuhan rakyat Palestin dalam Perarakan Pulang Besar-Besaran (Great Return March-GRM) di Semenanjung Gaza berlaku secara terang-terangan ketika umat Islam sedang bersiap menyambut Ramadan.

"Sehingga kini seramai 58 rakyat Palestin diberitakan syahid di Semenanjung Gaza dan angka ini pasti meningkat menjelang Ramadan ini. ABIM berharap perdana menteri menyuarakan ketegasan pendirian Malaysia mengenai isu ini," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Raimi berkata komuniti dunia perlu terus memberi tekanan diplomatik kepada Israel dan Amerika malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajar menggantung keanggotaan kedua-dua negara itu selain melaksanakan sekatan ketenteraan dan ekonomi.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi berkata ABIM bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin melibatkan bantuan perubatan yang diperlukan rakyat Palestin yang tercedera akibat kekejaman Zionis.

"ABIM menyasarkan kutipan sebanyak RM500, 000 untuk bantuan kesihatan dan perubatan kepada mereka yang akan diserahkan pada Ramadan ini. Bantuan awal sebanyak RM20,000 akan diserahkan kepada GPM bagi tujuan ini.

“Orang ramai yang ingin turut membantu boleh memasukkan dana bantuan ke dalam akaun bank GPM di 14-023-01-002922-4 (Bank Islam Malaysia Berhad), 1051-9000-2871 (Affin Islamic Bank Berhad) atau 5642-2161-1602 (Maybank Islamic Berhad). Transaksi dalam talian boleh dibuat di laman sesawang https://www.billplz.com/palestin,” tambahnya. -Bernama

Lihat Komen