malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ANAK: Shahrir pikul 'biawak hidup' di Felda
Diterbitkan:  May 15, 2018 11:15 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

Bagi Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) Mazlan Aliman, Tan Sri Shahrir Samad ibarat memikul 'biawak hidup' sepanjang menjadi pengerusi Felda.

Manakan tidak, kata Mazlan, ketika itu Felda sudah mengalami kerosakan yang begitu besar akibat di bawah kemudi pengerusi sebelumnya Tan Sri Isa Samad.

"Tugas amat berat mengambil alih Felda yang berada dalam krisis yang buruk. Selaku 'orang luar', beliau tentu terbeban untuk memulihkan kepercayaan masyarakat Felda, dengan pelbagai isu yang kita semua maklum.

"Shahrir memikul 'biawak hidup' tinggalan pengerusi Felda sebelumnya. Meskipun beliau cuba sedaya mungkin membaik pulih, kerosakan terlalu besar dan tidak banyak yang mampu dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrir semalam meletakkan jawatannya sebagai pengerusi agensi itu berkuat kuasa serta-merta.

Pada PRU ke-14, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru - yang cukup sinonim dengannya - selepas tewas dengan calon PKR Akmal Nasir dengan perbezaan hampir 20,000 undi.

PRU ini juga menyaksikan HARAPAN berjaya meraih sokongan di kawasan Felda, sesuatu yang dianggap amat sukar sebelum ini.

Mazlan mengucapkan penghargaan kepada Shahrir atas sumbangannya sepanjang 16 bulan menjadi pengerusi.

"Shahrir antara pemimpun Umno yang mempunyai wibawa sendiri. Saya ingin membantu dan bertemu (ketika Shahrir di Felda) namun tiada respons sampai dia letak jawatan semalam.

"Apa-apa pun ANAK menghargai sumbangan beliau. Walaupun singkat, warga Felda tetap mengingatinya," katanya lagi.

Antara isu terbesar dan paling mendapat perhatian sepanjang tempoh itu adalah pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai ratusan juta ringgit, menerusi transaksi meragukan.

Berlaku ketika Isa menjadi pengerusi, Shahrir dilaporkan berjaya mendapatkan semula tanah itu daripada syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen