malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Selangor: Exco jalan tugas ikut undang-undang
ADS

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, supaya menjalankan tugas berpandukan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Baginda turut mengingatkan kesemua Exco supaya tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri.

"Peranan utama Datuk Menteri Besar adalah sebagai ketua dalam mentadbir kerajaan Selangor ini, oleh itu beta berkenan supaya Exco dan wakil rakyat hendaklah bekerjasama dan membantu Datuk Menteri Besar dalam mentadbir negeri ini.

"Exco hendaklah bermuafakat dan berbincang bersama Datuk Menteri Besar dengan tulus ikhlas serta jujur di meja mesyuarat, luahkan pendapat dan pandangan supaya masalah yang dihadapi dapat ditangani demi kesejahteraan rakyat dan negeri," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Atur cara Pelantikan Exco Selangor di Istana Alam Shah di Klang.

Sepuluh Exco, tujuh muka baru

Seramai 10 anggota Exco Selangor, terdiri daripada tiga muka lama dan tujuh muka baharu termasuk dua wanita mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan kesemua anggota Exco yang dipilih supaya membela nasib rakyat sama ada di kampung atau di bandar.

Baginda juga menyeru barisan Exco kerajaan negeri supaya menunaikan janji mereka kepada rakyat bagi membolehkan rakyat hidup dalam sebuah negeri yang aman dan makmur.

"Semasa berkempen (pada pilihan raya umum lalu), Ahli Yang Berhormat sanggup pergi ke pelosok rantau untuk meyakinkan rakyat memilih mereka. Jangan selepas dipilih Ahli Yang Berhormat melupakan kawasan pilihan raya dan langsung tidak meninjau nasib rakyat yang memilih mereka," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan semua anggota Exco supaya menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan tidak sesekali memperdayakan rakyat.

Baginda bertitah sebagai Sultan di Selangor, baginda tidak akan mencampuri pentadbiran kerajaan selagi ia berjalan dengan baik dan sempurna.

"Bagaimanapun sekiranya nasib rakyat tidak dibela dan alam sekitar tidak dijaga serta pembangunan tidak seimbang, beta akan menggunakan kuasa yang ada pada beta untuk menegur bagi memperbetulkan pentadbiran kerajaan negeri," titah baginda.

 

-Bernama
 

Lihat Komen