malaysiakini logo
story-image
ADS

Pelantikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dipersoalkan sesetengah pihak yang bertanyakan kewajaran seseorang yang sedang menjalani perbicaraan atas tuduhan rasuah untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Walau bagaimanapun bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Lim masih tidak bersalah sehingga mahkamah membuktikan beliau bersalah.

"Seperti yang saya katakan, semua orang tidak bersalah sehinggalah terbukti bersalah, kita perlu menghormati undang-undang," katanya kepada Malaysiakini.

Lim, salah seorang daripada tiga menteri kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Menteri kewangan yang baru kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah mengenai pembelian banglo Jalan Pinhorn di George Town dari ahli perniagaan Phang Li Koon yang didakwa di bawah harga pasaran.

Beliau menafikan tuduhan itu, mendakwa ia bermotifkan politik.

Johari berkata kerajaan baru berhak diberikan peluang untuk membuktikan janji-janjinya.

"Kita perlu memberi peluang kepada kerajaan baru untuk membuktikan mereka akan menyampaikan kepada rakyat semua janji yang mereka buat kepada rakyat.

"Rakyat telah memutuskan siapa yang mereka mahu sebagai pemerintah, jadi kita semua harus menerima sesiapa menteri yang dipilih oleh perdana menteri sebagai pasukannya, kita harus menghormati suara rakyat," katanya.

Sementara itu, pengarah eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) Cynthia Gabriel berkata perbicaraan rasuah pemimpin HARAPAN (dahulu pembangkang) perlu dikaji semula.

"Kesemua kes rasuah yang melibatkan pemimpin pembangkang (sebelum PRU14) kini perlu dikaji semula untuk menentukan sama ada pertuduhan tersebut palsu atau tidak, dan jika pertuduhan itu merupakan pendakwaan terpilih," katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada menteri baru, termasuk menteri pertahanan dan menteri dalam negeri. Cynthia (gambar) juga menuntut mekanisme untuk memastikan ketelusan urus tadbir.

"Kementerian-kementerian utama ini adalah kunci kepada integriti dan kecekapan serta keupayaan kerajaan dan tanggungjawab besar terletak di bahu menteri yang baru dilantik ini.

"Kami mencadangkan semak dan imbang, penubuhan pejabat ombudsman dan sebagainya bagi memastikan tadbir urus yang telus," katanya.

Selain Lim, Mahathir mengumumkan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Lihat Komen