Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebentar tadi sah menjadi perdana menteri buat kali kedua.
"Baru mengucapkan tahniah kepada Tun Mahathir di atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri ketujuh.
"Saya sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar," katanya di Twitter.
Baru mengucap tahniah kpd Tun Mahathir diatas pelantikan beliau sabagai Perdana Menteri yang ke7. Saya sanggup membantu peralihan kuasa yang lancar.
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) May 10, 2018
Kira-kira jam 9.50 malam tadi, Mahathir mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Ia menjadi acara yang paling dinantikan sejak pagi tadi, selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mencipta sejarah menumbangkan BN pada PRU ke-14 semalam.
Pengerusi HARAPAN itu kali pertama menjadi perdana menteri pada 1982.
Nada itu ternyata berbeza pada sidang medianya pagi tadi yang antaranya mendakwa tiada parti yang mendapat majoriti mudah pada pilihan raya ini.
Walaupun tidak mengulasnya, ia dipercayai kerana HARAPAN bukanlah gabungan yang berdaftar secara rasmi.
Selain jumlah kerusi empat komponennya - BERSATU, PKR, AMANAH dan DAP, gabungan itu juga mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
“BN komited dan menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen. (Tetapi) kerana tiada parti yang dapat majoriti muda Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan siapa yang akan menjadi perdana menteri," katanya.
Namun beliau tetap berkata menerima keputusan rakyat dalam pilihan raya umum ini.