malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Upko keluar BN: Pemangku presiden dan 5 ADUN tak sehaluan
Diterbitkan:  May 10, 2018 5:50 AM
Dikemaskini: 7:38 AM

Pemangku Presiden Pertubuhan Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengumumkan bahawa majlis tertinggi parti itu telah membuat keputusan untuk keluar BN dan menyokong Parti Warisan Sabah.

Ini, kata Tangau, adalah untuk memudahkan usaha membentuk kerajaan negeri baru, lapor Bernama.

Bagaimanapun, lima ADUN Upko yang menang pada pilihan raya menafikan bahawa mereka akan menyokong WARISAN dan menegaskan bahawa mereka akan kekal dengan BN.

Ini ditegaskan semasa sidang akhbar dengan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman di Sri Gaya hari ini.

Tangau dan rakannya dalam Upko Donald Peter Mojuntin sebelum ini telah mengunjungi kediaman presiden WARISAN, Datuk Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu.

Tangau memenangi kerusi Parlimen Tuaran, tetapi Mojuntin gagal di kerusi DUN Moyog.

Sementara itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Jeffrey Kitingan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan BN di Sabah. Dengan dua kerusi DUN Star, BN kini mempunyai 31 kerusi di Dewan Undangan Negeri, cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

Jeffrey mengesahkan keputusannya itu semasa sidang akhbar dengan Musa hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Jika Upko benar-benar menyertai WARISAN, bersama-sama dengan PKR dan DAP, pakatan itu akan mempunyai 34 kerusi Dewan Undangan Negeri, lebih daripada cukup untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

Pada masa ini, BN mempunyai 29 kerusi DUN. Star memenangi dua kerusi DUN dan satu kerusi parlimen.

 

 

 

 

Lihat Komen