malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Upko temui Shafie Apdal di kediamannya
ADS

Dua pemimpin dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) tiba di kediaman Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu hari ini.

Para pemimpin berkenaan adalah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Datuk Donald Peter Mojuntin.

Tangau memenangi kerusi Parlimen Tuaran, manakala Mojuntin tewas di kerusi DUN Moyog.

Bagaimanapun, pemimpin WARISAN dan Upko itu mengambil sikap berdiam diri atas kunjungan tersebut.

Pemimpin berkenaan pada masa ini sedang berbincang di kediaman itu.

Petugas media diberitahu bahawa sidang akhbar akan diadakan kemudian.

Upko memenangi lima kerusi DUN dan satu kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sekiranya Upko memutuskan untuk menyertai WARISAN bersama-sama PKR dan DAP, gabungan itu akan mempunyai 34 kerusi DUN, cukup untuk membentuk kerajaan negeri Sabah.

Pada masa ini, BN juga mempunyai 29 kerusi DUN manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memenangi dua kerusi.

Terdahulu, Shafie dilarang memasuki istana Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Konvoi Shafie yang dipercayai mahu bertemu Tun Juhar disekat ketika tiba di Jalan Istana, sekitar dua kilometer dari pintu istana.

Sekumpulan anggota polis dari Light Strike Force berkawal di kawasan itu dan menghalang sesiapa yang tidak mempunyai alasan untuk menggunakan laluan masuk.

Lihat Komen