malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiga, termasuk petugas SPR meninggal dunia ketika PRU14
Diterbitkan:  May 9, 2018 6:28 PM
Dikemaskini: 10:49 AM
ADS

Dua pengundi dan seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan meninggal dunia ketika melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), hari ini.

Pada awal pagi tadi, seorang pengundi wanita, Rokiah Sulung, 54 tidak sempat menunaikan hasrat untuk mengundi apabila beliau rebah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, di Dungun, kira-kira 20 minit selepas pusat pengundian itu dibuka.

Beliau yang berasal dari Kampung Pelandang rebah ketika menunggu giliran untuk mengundi di pusat berkenaan dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian ​​oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Di Kuala Lumpur pula, seorang warga emas turut disahkan meninggal dunia selepas tiba-tiba jatuh pengsan, juga ketika sedang beratur untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Taman Petaling.

Menurut keluarga mangsa, kematian lelaki berusia 78 tahun itu mungkin berkaitan dengan penyakit yang dialami seperti penyakit jantung, kencing manis dan masalah paru-paru.

Berita sedih turut menimpa petugas SPR, Rozaliza Mohd Said, 49 yang meninggal dunia selepas terjatuh di bilik air Balai Raya Kampung Baru Sempalit, Raub kira-kira 2.15 petang tadi.

Kerani di Sekolah Tengku Kudin, Raub itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air berkenaan oleh seorang rakannya.

Dia dipercayai setelah terjatuh di dalam bilik air itu di balai raya itu, yang merupakan sebuah pusat pengundian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata mangsa Rozaliza yang merupakan kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air berkenaan oleh seorang lagi rakannya.

“Mangsa dari Lorong Sepam Baru, Jalan Cheroh Raub sebelum itu ada mengadu dengan anak perempuannya yang turut bertugas di PDM (Pusat Daerah Mengundi) berkenaan bahawa dia mengalami sakit kepala (migrain) dan cirit-birit. Bagaimanapun menurut anaknya itu, ibunya sebelum ini tidak mengidap sebarang penyakit serius.

"Mayat kemudian telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, seorang petugas SPR dan anggota polis yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherok Paloh cedera ringan setelah kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Penor, Pantai Sepat, Tanjung Lumpur di Kuantan jam 6.30 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku akibat jalan yang licin setelah hujan semalam dan pagi tadi. Mereka kemudian telah menumpang kereta petugas lain untuk ke tempat pengundian.

Dalam masa yang sama Rosli turut meminta penyokong semua parti yang bertanding agar tidak menimbulkan sebaran provokasi atau kekecohan selepas keputusan pilihan raya diumumkan nanti.

“Saya percaya penyokong-penyokong sudah matang dan mereka harus menjaga disiplin mereka, dan keselamatan untuk mengelak perkara-perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen