malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Guan Eng bidas pegawai SPR larang pengundi pakai seluar pendek
Diterbitkan:  May 9, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 5:01 AM
ADS

PRU14 | Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengecam tindakan seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menghalang seorang pengundi yang memakai seluar pendek daripada memasuki pusat pengundian bagi kawasan Parlimen Bagan.

Menurut klip video yang dimuat naik ke Facebook Oriental Daily, pegawai itu menggesa pengundi lelaki pertengahan umur itu untuk pulang ke rumah bagi menukar pakaian.

Bagaimanapun, Oriental Daily melaporkan lelaki itu akhirnya dibenarkan untuk mengundi.

Mengulas perkara itu Lim berkata beliau akan membuat aduan kepada SPR untuk menggantikan pegawai berkenaan.

"Selagi mereka berpakaian, sesiapa sahaja boleh memasuki pusat mengundi, tetapi tentu saja, anda perlu berpakaian. Jika tidak kita setuju (mereka dihalang)," katanya.

Lim mendakwa ketika ditemui, pegawai itu mengakui tiada peraturan yang melarang pengundi memasuki tempat mengundi.

"Kami akan mengadu kepada SPR dan menggesa (pegawai SPR) diganti. (Kita) tidak boleh biarkan dia melakukan apa yang dia mahu," katanya.

Sementara itu, beberapa pengundi di Selangor juga dihalang memasuki pusat mengundi masing-masing kerana didakwa tidak memakai pakaian yang sesuai.

Menurut pegawai media dan komunikasi DAP, Medaline Chang, seorang pengundi yang memakai seluar pendek dan sandal dilarang daripada memasuki SMK Sri Permata di SS3 pagi ini.

"Beliau sangat marah dan pulang ke rumah untuk menukar pakaian," katanya dalam kiriman teks.

Selain itu, beliau berkata beberapa pengundi tidak dibenarkan memasuki pusat pengundi kerana memakai sandal.

"Saya dimaklumkan oleh ejen pengiraan dan ejen tempat mengundi kami di lapangan," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada 30 April lalu berkata suruhanjaya itu tidak mengenakan sebarang kod pakaian pada hari pengundian.

Beliau merujuk mesej yang tular di media sosial yang mendakwa pengundi diminta untuk berpakaian dengan cara yang tertentu.

Salah satu mesej tular yang dikongsi di Facebook, menasihatkan para pengundi tidak memakai seluar jeans, selipar, seluar pendek atau miniskirt ke pusat pengundian, atau berdepan larangan.

Lihat Komen