malaysiakini logo
story-image
ADS

Terjemahan Dr Cecilia Ng Choon Sim ialah seorang pensyarah universiti dan aktivis hak asasi wanita. Anthony Rogers, seorang mubaligh Kristian, adalah pengarah kebangsaan Pejabat Nasional Pembangunan Manusia.

Mereka berdua adalah antara lebih seratus orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) dalam Operasi Lalang Oktober 1987. Sehingga sekarang mereka tidak tahu apa sebabnya mereka ditahan kecuali dakwaan kononnya terbabit dengan gerakan bawah tanah komunis.

Turut ditahan bersama Ng ialah aktivis sosial lain, Chee Heng Leng, Theresa Lim Chin Chin dan Irene Xavier. Sehingga sekarang semuanya masih aktif dalam perjuangan hak asasi wanita dan gerakan buruh.

Sebaik sahaja ditahan pada tahun 1987, keempat-empat mereka dilabel oleh rakan-rakan mereka sebagai "empat wanita paling merbahaya di dalam negara".

Ng, agak keberatan untuk bercakap mengenai pengalamannya semasa dalam tahanan di Kamunting kerana masyarakat cenderung untuk mengagung-agungkan bekas-bekas tahanan ISA.

"Saya tidak suka dianggap sebagai seorang yang hebat. Tujuh bulan di dalam tahanan bukan sesuatu yang hebat jika dibandingkan dengan apa yang berlaku pada orang tahanan lain.

"Yang pastinya sehingga sekarang saya tetap menentang kuat ISA. Saya tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara," tegas bekas pensyarah Universiti Pertanian Malaysia itu.

Menurut beliau, sebelum Operasi Lalang, kerajaan Singapura telah melakukan beberapa siri penahanan terhadap mereka yang disyakin mengancam keselamatan negara itu.

Khabar angin

"Sejarah mengajar kita, apabila Singapura menjalankan operasi pembersihan, Malaysia akan mengikutinya. Oleh itu, kami yang bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan, telah menyiapkan diri apabila tersebar khabar angin mengenai penahanan itu," cerita Ng.

Ketika Operasi Lalang dimulakan Ng berada di Jakarta kerana bertugas. Beliau kembali ke Kuala Lumpur 10 hari kemudian dan ketika berada di pejabat Pusat Pembangunan Wanita di Petaling Jaya, beliau didatangi lima anggota polis.

Ng dibawa pulang ke rumahnya dan para pegawai polis itu mengeledah tempat tinggalnya selama dua jam. Pegawai berkenaan merampas beberapa buah buku yang kemudiannya dipulangkan apabila dia dibebaskan.

Mengapa beliau kembali ke Malaysia sedangkan berpeluang menetap di luar negara bagi mengelak dirinya daripada ditahan?

"Mengapa saya perlu lari? Saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan saya juga tidak mahu mendapatkan perlindungan politik. Ini adalah negara saya," balas beliau.

"Saya berasa takut apabila ditahan. Berbohonglah saya....kalau saya katakan saya tidak takut. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada diri kita ketika itu," katanya.

Tempoh 60 hari ditahan seorang diri di dalam bilik kecil yang tidak diketahui entah di mana, adalah waktu yang paling menyiksakan.

"Sampai sekarangpun saya tidak tahu di mana saya ditahan," ujarnya.

Ng tidak dikasari secara fizikal sepanjang penahanannya tetapi sering dihamburkan dengan kata-kata kesat dan kasar serta ugutan sepanjang tempoh soalsiasat.

"Pegawai cawangan khas biasanya mengada-adakan cerita yang dirasakannya sesuai dengan seseorang tahanan itu," katanya.

Ditanya mengenai kehidupannya di kem tahanan Kamunting, Ng tanpa ragu-ragu menjawab "sangat menarik".

Dia tinggal dalam sebuah bilik yang dikongsi empat orang namun tetap bersyukur kerana masih dapat melihat langit biru dan rumput hijau.

"Hanya satu perkara yang menyesakkan......kami tidak mempunyai kebebasan. Tepat jam 8 malam pintu ditutup, tidak boleh bergerak ke sana sini lagi. Peraturan itu terpaksa diikuti.

"Kami diasingkan dari masyarakat dalam persekitaran yang tertekan...tidak dilayan seperti manusia. Para pengawal tidak memanggil nama kita, tetapi memanggil nombor "

Bagi menghilangkan tekanan dan kebosanan, Ng dan tahanan lain mengamalkan yoga, bermeditasi dan bercucuk tanam.

Pada Jun 1988, dia dibebaskan dari Kamunting bersama Lim, namun dia masih dikenakan perintah tahanan terhad selama dua tahun.

Kisah Roger

Rogers, juga seorang aktivis sosial tetapi nasibnya lebih baik dari Ng kerana dia tahu di mana dia ditahan. Roger ditahan oleh sepasukan anggota cawangan di pejabartnya di Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Dari situ, dia dibawa ke pusat tahanan reman di Sentul. Pusat itu adalah tempatan tahanan rahsia bagi tahanan ISA yang baru ditahan.

Roger berseloroh; "Disebabkan oleh latarbelakang keagamaan saya, penjara gagal meragut kebebasan saya."

Dia menggunakan waktu dalam tahanan untuk berdoa dan bermuhasabah diri.

"Semasa dalam bilik tahanan, saya pujuk diri saya dengan menganggap nasib saya jauh lebih baik daripada orang lain...sekurang-kurangnya saya mempunyai tempat tidur, makanan dan pakaian, sedangkan di luar sana masih ramai rakyat Malaysia yang tidur tanpa selimut.

"Saya tidak berasa takut tetapi berasa amat sedih. ISA memang tidak berperi kemanusiaan kerana ia menimbulkan rasa takut. Ketakutan bukanlah suatu yang positif bagi manusia. Bagi saya ISA adalah lambang ketakutan dalaman pihak berkuasa negara ini."

Roger bagaimanpun amat menghargai cara hidup di dalam kem tahanan Kamunting yang benar-benar bersifat Malaysia.

"Semua orang tahanan berkawan baik. Malah saya pernah bersembahyang dengan seorang ahli PAS yang dicop sebagai ekstrimis. Kami main badminton, gitar dan bercucuk tanam bersama. Kami juga sering berkongsi makanan apabila ada ahli keluarga membawanya semasa datang melawat," cerita Roger lagi.

Rogers dibebaskan pada bulan Ogos 1988.

Ketika ini Ng dan Rogers masih aktif dalam aktiviti sosial yang menjuruskan kepada pembangunan insan./ Berita asal


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!