malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Pada hari sebelum pilihan raya umum ke-14, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin menegaskan kembali komitmennya untuk pilihan raya yang bebas dan adil serta persepaduannya dengan rakyat untuk bebas memilih calon yang akan mewakili mereka melalui proses demokrasi.

Suhakam juga ingin menyatakan semula kekecewaannya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak membenarkan pemantauan proses pilihan raya dijalankan dan ia adalah benar-benar tidak wajar.

Walau bagaimanapun, Suhakam tetap menjalankan pemantauan pengendalian pilihan raya bermula dari hari penamaan calon.

SPR adalah jentera bagi rakyat yang dimandatkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pemudah cara proses pilihan raya yang bebas dan adil dan seharusnya tidak mengambil tindakan yang boleh didakwa sebagai partisan dan selektif.

Suhakam akan memberi perhatian terhadap persoalan-persoalan ini pada masa akan datang dan menyeru agar institusi SPR disusun semula dengan mengambil kira amalan keseluruhan di tempat lain.

Malaysia berada di kedudukan 125 daripada 197 negara di seluruh dunia dalam Indeks Kebebasan Pilihan Raya Dunia 2018 dan ini merupakan gejala kepada situasi yang berlaku di negara kita.

Suhakam percaya bahawa keselarasan dalam arena ini terkesan dengan keraguan terhadap penolakan calon yang tidak layak bertanding dan pengagihan wang serta hadiah, yang mana ianya berlaku di dalam lingkungan undang-undang Malaysia tetapi telah lama ditolak oleh banyak negara demokrasi.

Pelaksanaan persempadanan semula terus dilihat oleh Suhakam sebagai pelanggaran dasar prinsip pilihan raya demokratik yang melambangkan ketidakseimbangan.

Suhakam telah dimaklumkan pelbagai kes berlaku di mana terdapat usaha untuk mengurangkan jumlah mereka yang mempunyai hak untuk mengundi dan Suhakam juga menerima aduan berkenaan undi pos yang masih belum diterima 48 jam sebelum pilihan raya serta percanggahan-percanggahan lain.

Rakyat Malaysia berhak untuk melaksanakan hak mereka untuk bebas mengundi memandangkan ia adalah hak warganegara yang tidak dapat dipisahkan serta dipertikaikan.

Berhubung dengan ini, Suhakam mengalu-alukan maklumat daripada pengundi sekiranya sebarang kejanggalan atau pelanggaran peraturan pilihan raya dalam proses mengundi.

Suhakam menyeru rakyat Malaysia agar mengambil peluang pada pilihan raya esok untuk melaksanakan hak sivil dan politik mereka dengan mengundi dan memilih secara bijak demi kepentingan negara tercinta.

 

 


TAN SRI RAZALI ISMAIL ialah Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam)

Artikel ini asalnya kenyataan media rasmi Suhakam dan tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen