malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Daim minta Pak Lah sedar, tengok keadaan rakyat
ADS

PRU14 | Sehari sebelum hari mengundi, Tun Daim Zainuddin meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meninjau sendiri rakyat agar sedar masalah yang dihadapi mereka.

"Saya kawan dengan Pak Lah. Bila dia kata jangan tukar, saya kata kita tukar bila kotor...Kalau tak kotor kita tak tukar.

"Saya harap Pak Lah sedar (dan) pergi tengok rakyat, kita mahu Malaysia ke arah spring (musim bunga) bukan dalam winter (musim sejuk) lagi.

"Sekarang masih winter. Beritahu Pak Lah, ada orang kata mungkin beliau masih tidur, bukan saya kata," katanya pada sidang media di Langkawi, hari ini.

Bekas menteri kanan itu diminta mengulas bekas menteri dan tokoh Umno, terutama yang sezaman dengannya, yang tidak menyertai beliau dan beberapa yang lain berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ini.

Abdullah yang juga perdana menteri kelima dilihat kurang aktif pada pilihan raya kali ini, termasuk berkempen untuk BN.

Namun pada 6 Mei lalu, beliau mengeluarkan kenyataan antaranya menggesa pengundi mengutamakan kestabilan dan tidak mempertaruhkan nasib negara semata-mata "kerana tidak puas hati dengan beberapa isu".

"Kerajaan yang kuat dan stabil hanya didirikan oleh pemimpin yang benar-benar dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat.

"Memilih mereka yang sekian lama berlainan fahaman politik tetapi berganding bahu semata-mata untuk meraih kuasa bukanlah pilihan yang waras," katanya, yang walaupun tidak menyebut sebarang pihak secara khusus tetapi jelas merujuk kepada HARAPAN.

Sejak bermula kempen, pentas politik menyaksikan kemunculan semula beberapa bekas menteri kanan seperti Daim sendiri, Tan Sri Rafidah Aziz dan, terbaru, Tan Sri Rais Yatim, di pentas HARAPAN.

Daim berkata mereka mengambil langkah itu kerana bertanggungjawab terhadap masa depan rakyat.

"Kita ada tanggungjawab, jika mereka (bekas menteri lain) tak mahu keluar, itu depa punya hal...Jika kerajaan membuat kesalahan kita tidak boleh pertahankannya lagi," katanya yang juga bekas bendahari Umno.

'BN akan buat apa saja'

Daim juga mengulas penganjuran sebuah konsert percuma oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kementerian Kewangan Malaysia di Langkawi yang dijangka bermula pada masa sama program 'amanat' Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan sementara tidak harus menggunakan wang rakyat untuk konsert itu dan mempertikai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seolah-olah 'menutup sebelah mata'.

"Hati-hati BN akan lakukan apa saja untuk menang, kamu lihat konsert malam ini.

"Ketika PRU hanya ada kerajaan sementara, jadi macam mana dia boleh guna dana awam. Pengerusi SPR tak nampak, dan (sebelum ini) BERSIH sudah ajukan 80 aduan tetapi tidak dilayan," katanya lagi.

Selain bermula serentak, konserti yang menampilkan barisan artis terkenal itu juga diadakan di Dataran Lang yang terletak kira-kira 3.6 kilometer dari program Dr Mahathir.

Turut diadakan adalah ucapan Datuk Seri Najib Razak yang akan disiarkan secara langsung di TV3.

Lihat Komen