malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR minta penyokong parti bersikap matang
ADS

PRU14 | Penyokong mana-mana parti politik yang bertanding dalam PRU14 diminta bersikap matang pada hari pengundian esok untuk mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Kedah Zuhri Ismail berkata semua pihak termasuk pengundi hendaklah hadir di pusat pengundian bagi membuang undi dengan penuh semangat positif untuk menegakkan sistem demokrasi, sekali gus mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku esok.

“Saya percaya dan yakin masa hari pengundian esok di Kedah ini semua akan berjalan dengan lancar dan baik. Penyokong-penyokong parti politik boleh mengawal keadaan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di Alor Setar hari ini.

Selain itu, Zuhri turut berpesan kepada semua pengundi di negeri ini supaya menyemak maklumat status pendaftaran sebagai pemilih dan lokasi mengundi sebelum keluar mengundi untuk memudahkan proses pengundian masing-masing.

Beliau berkata dijangka seramai 1,146,495 pengundi berdaftar akan mengundi di 2,206 saluran undi di Kedah.

Di Kangar pula, sebanyak 88 sekolah di seluruh Perlis dijadikan pusat mengundi pada PRU14 esok.

Pengarahnya Ahmad Ibrahim Mohd Tayib berkata Pengurus Pilihanraya (RO) bersama petugas SPR yang dilantik sedang giat menyediakan pusat-pusat mengundi tersebut yang mengandungi 296 saluran dan dijangka siap petang ini.

“Orang ramai dinasihatkan keluar awal untuk mengundi esok. Jangan lupa bawa MyKad dan jangan sekali-kali serahkan pengenalan diri itu kepada mana-mana pihak kecuali kepada pegawai pusat mengundi untuk disahkan kelayakan semasa hendak mengundi,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata SPR Perlis menyediakan lebih 200 kerusi roda termasuk 100 unit yang dipinjamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis kepada pihaknya untuk digunakan pemilih berdaftar yang uzur semasa mengundi esok.

“Saya ingin ingatkan bahawa SPR hanya bertanggungjawab terhadap proses pilihan raya. Kes-kes jenayah adalah tanggungjawab pihak polis,” katanya.

Rekod SPR menunjukkan terdapat 146,076 pengundi biasa berdaftar di Perlis, manakala pengundi awal yang sudah mengundi pada 5 Mei lepas pula ialah seramai 4,120 orang, selain 25 pengundi luar negara.

Di Labuan, persiapan akhir sedang dijalankan bagi memastikan semua dokumen yang diperlukan untuk PRU14 esok tersedia dan proses mengundi berjalan lancar.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Labuan Raisin Saidin berkata pihaknya hari ini telah memberi taklimat akhir kepada semua ketua pusat pengundian, ketua pegawai kerani dan kerani yang bertugas esok di pusat pengiraan undi di Kolej Matrikulasi Labuan (KML).

Beliau berkata pihaknya dengan dibantu 500 ejen serta pasukan polis telah menyediakan 17 pusat pengundian di seluruh Labuan.

Pengiraan di pusat pengundian

Katanya proses pengiraan undi akan dijalankan di semua pusat pengundian sebelum kertas undi (peti undi) dibawa ke KML.

”Kami menjangka semua peti undi akan tiba di KML secara berperingkat mulai 6 petang esok dan wakil media dibenarkan memasuki pusat itu bermula 6.30 petang,” katanya.

Berdasarkan rekod daftar pemilih SPR, seramai 28,356 pengundi di Labuan layak membuang undi pada PRU14 ini.

Di Ipoh pula, Pengarah SPR Perak Mohd Nazri Ismail berkata seramai 2,815 Ketua Tempat Mengundi (KTM) dengan dibantu seramai 11,260 Kerani Pengundian/Kerani Mengira Undi ditempatkan di 778 pusat mengundi melibatkan 2,815 saluran tempat mengundi.

“Kesemua mereka telah membuat persiapan pagi ini dan pada sebelah petang ini, kebanyakan KTM akan bergerak ke tempat masing-masing untuk membuat persiapan," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan di Stadium Indera Mulia di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata terdapat seramai 1.5 juta pengundi berdaftar di Perak dan daripada jumlah itu, 1.47 juta merupakan pengundi biasa, manakala 37,407 lagi adalah pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu lepas.

Mohd Nazri turut mengingatkan seramai 28,464 pengundi pos yang berdaftar supaya memulangkan kertas undi selewat-lewatnya pukul 5 petang esok.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak SPR negeri menyediakan 10 buah bot dan 148 kenderaan pacuan empat roda bagi membawa dan menghantar peti undi ke kawasan pedalaman esok.

“Pada pilihan raya lepas, kita menggunakan perkhidmatan helikopter untuk ke kawasan Orang Asli, namun disebabkan kawasan berkenaan boleh dihubungi menerusi darat, maka kita menggunakan kenderaan pacuan empat roda," katanya.

Katanya sebanyak 42 kenderaan perantara disediakan di beberapa lokasi untuk membawa pengundi ke tempat mengundi yang terletak agak jauh.


- Bernama

Lihat Komen