malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR: Jangan percaya mesej palsu media sosial
ADS

PRU14 | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan pengundi-pengundi supaya tidak mudah terpengaruh atau percaya dengan mesej palsu yang ditularkan di media sosial oleh pihak tertentu yang bertujuan mengelirukan mereka.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata penyebaran pelbagai mesej palsu berbentuk video, teks dan gambar di media sosial kini semakin rancak menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Rabu ini.

"Berhubung mesej tular yang mendakwa kononnya telah berlaku proses pengiraan undi awal di beberapa bahagian Parlimen, SPR menegaskan bahawa ia tidak pernah berlaku dan semua kertas undi awal masih disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap balai polis.

"Kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dikira pada 9 Mei, bermula 4 petang. Semua proses pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan dibuat dengan disaksikan oleh semua pihak berkepentingan dengan kehadiran calon-calon atau ejen-ejen calon," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai dakwaan palsu kononnya kertas undi pos telah disapu lilin di petak calon tertentu bagi menyukarkan pengundi menanda pangkah di petak tersebut.

Mohd Hashim berkata sehingga kini, tiada sebarang aduan dibuat mengenai perkara itu malah pihaknya turut menyemak terlebih dahulu setiap kertas undi yang dicetak supaya tiada sebarang kekotoran seperti tanda titik hitam.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kekeliruan kaedah penandaan yang betul di mana pengundi perlu membuat tanda pangkah di dalam satu petak mana-mana calon yang dipilih serta tidak melangkau ke petak calon-calon yang lain.

"Sekiranya terdapat keraguan, ia akan diputuskan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) sama ada diterima atau ditolak dalam kehadiran Ejen-Ejen Mengira Undi bagi Calon yang bertanding," jelasnya.

SPR turut menafikan mesej palsu yang tular kononnya pengundi boleh membuat tuntutan perjalanan di pejabat daerah dengan membawa kad pengenalan dan jumlah dibayar akan mengikut jarak perjalanan iaitu antara RM10 hingga RM1,000.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat untuk tidak menyebarkan mesej-mesej palsu di media sosial kerana boleh menimbulkan kegemparan dan kekeliruan selain ia merupakan satu kesalahan mengikut undang-undang dan akta tertentu.

 

- Bernama

Lihat Komen