malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Perak merupakan antara negeri ‘panas’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila Pakatan Harapan mengumumkan cita-cita mereka untuk menawan semula negeri itu.

Mengapakah Perak dianggap negeri 'panas"? Semuanya kerana pada PRU13, Barisan Nasional (BN) hanya menang majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi di negeri itu, DAP memenangi 18 kerusi manakala PKR dan PAS masing-masing lima kerusi.

Baru-baru ini, kajian Invoke Malaysia mendakwa Perak merupakan antara lima buah negeri yang akan jatuh ke tangan pakatan pembangkang pada PRU14.

Bagaimanapun, penganalisis politik dan pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping meramalkan BN akan kekal di Perak selain berupaya menambah bilangan kerusi serta majoriti undi pada PRU14.

Katanya keadaan tersebut berdasarkan kepada ramalan bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap Pakatan Harapan dijangka menurun kepada 70 hingga 75 peratus berbanding 85 peratus pada PRU13, selain DAP akan ‘hilang’ undi di kawasan yang menyaksikan pertembungan parti itu dengan PAS.

'PAS cederakan DAP'

“Peluang DAP untuk mengambil alih Perak adalah sifar. PAS yang bertanding di kerusi-kerusi kubu kuat DAP dijangka melarikan undi DAP. PAS akan ‘mencederakan’ DAP, manakala pengundi Melayu akan ‘membunuh’ harapan DAP di Perak," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Hoo berkata faktor bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah ‘melukakan hati’ masyarakat Cina di Perak juga bakal menghancurkan impian Pakatan Harapan.

“Dr Mahathir telah melukai hati masyarakat Cina. Mereka yang berumur 30-an dan 40-an pasti ingat dengan apa yang beliau telah lakukan. Umumnya Dr Mahathir merupakan satu kesilapan bagi (Penasihat DAP) Lim Kit Siang manakala Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin merupakan ‘racun’ (kepada DAP),” katanya.

Beliau menarik perhatian apabila berkata peratusan keluar mengundi ada PRU14 dijangka rendah iaitu hanya antara 70 hingga 75 peratus seterusnya merencatkan impian pembangkang, khususnya DAP.

Berhubung bahang pilihan raya di sekitar bandaraya Ipoh sepanjang tempoh berkempen sejak 28 April lalu, profesor itu berkata ia tidak sehangat dan tiada keterujaan seperti pada pilihan raya sebelum ini.

BN raih sokongan Melayu Teluk Intan

Hoo berkata kali ini, tiada “lautan manusia” selain itu suasana kelihatan agak tenang walaupun penampilan khas ‘big guns’ seperti veteran DAP Kit Siang dan anaknya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sementara itu, Penganalisis Politik Liew Wei Chern berkata MCA dan Gerakan berpeluang untuk merampas kerusi Parlimen iaitu Kampar daripada DAP dan Gopeng yang dipegang PKR selain mengekalkan kerusi Tanjong Malim dan Teluk Intan.

Bagi kerusi Kampar yang mempunyai 69,436 pengundi dengan 55.37 peratus pengundi Cina, beliau berkata sekurang-kurangnya lapan peratus pengundi Cina akan kembali menyokong BN berikutan calonnya Datuk Lee Chee Leong tetap berkhidmat di kawasan itu walaupun kalah pada PRU13 .

Bagi kerusi Parlimen Gopeng, beliau berkata calon MCA yang juga ketua Wanitanya Datuk Heng Seai Kie berpeluang 50-50 untuk merampas kerusi yang disandang Dr Lee Boon Chye selama dua penggal.

Untuk mengekalkan kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenangi Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil 2014, wakil rakyat itu perlu meraih sokongan Melayu dan India yang jumlahnya hampir 60 peratus daripada jumlah pengundi, katanya.

Liew berkata Mah yang dicabar Nga Khor Ming (DAP) dan Ahmad Ramadzan Ahmad Daud (PAS) akan memecahkan sokongan Melayu di kerusi Teluk Intan yang mempunyai 66,487 pengundi.

Bagi kerusi Parlimen Tanjong Malim yang dimenangi Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan pada PRU13, menurutnya MCA yang mempertaruhkan Pengerusi MCA negeri Datuk Mah Hang Soon dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan kemenangan di kerusi itu.


- Bernama

Lihat Komen