malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Selepas mendakwa DAP cuba menyebarkan propaganda jahat terhadap perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak, hari ini anggota parti itu Amran Ahmad Nor membuat pendedahan baru.

Amran yang merupakan sebahagian daripada pasukan publisiti DAP berkata, pemimpin veteran parti itu Lim Kit Siang telah melakukan pembohongan berhubung kerusi menteri besar Perak.

Berdasarkan emel yang ditulis calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi Dr Aziz Bari, Amran mendakwa parti itu ingin menjadikan bekas pensyarah itu sebagai menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi negeri berkenaan.

Justeru, katanya, ia sekali gus bertentangan dengan kenyataan Kit Siang sebelum ini yang mengatakan DAP tidak berhasrat menuntut kerusi menteri besar di negeri itu.


Baca: Ahli parti lapor polis propaganda anti-Najib oleh DAP


"Tidak lama dulu Lim Kit Siang keluarkan kenyataan DAP tak pernah berhasrat untuk jawatan menteri besar Perak. Namun saya ingin dedahkan hari ini, emel daripada calon Pakatan Harapan di Perak iaitu Aziz Bari.

"Emel ini sekali gus menolak kenyataan yang dibuat Lim Kit Siang bahawa DAP tidak mahu menuntut kerusi menteri besar Perak.

"Ini jelas bahawa Lim Kit Siang menipu rakyat negara inu terutamanya rakyat di Perak," katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Amran, yang merupakan anak kepada anggota parlimen Melayu pertama dari DAP, allahyarham Ahmad Nor turut menunjukkan salinan emel berkenaan kepada pihak media.

Dalam emel tersebut, Aziz menulis bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bukan lagi sosok yang Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin tonjolkan dan DAP mahukan calon mereka sendiri.

Bagaimanapun, emel berkenaan tidak menyatakan secara jelas bahawa DAP mahukan kerusi menteri besar Perak.

Amran berkata demikian merujuk kepada laporan yang diterbitkan Malaysiakini sebelum ini.

Pada 15 April lalu, Malaysiakini melaporkan, Kit Siang berkata meskipun partinya meletakkan Aziz sebagai calon di Perak namun DAP tidak berhasrat menuntut kerusi menteri besar.


Baca: DAP tiada hasrat tuntut jawatan MB Perak


"Aziz Bari akan menjadi calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, tetapi DAP tidak akan menuntut jawatan menteri besar," kata Kit Siang.

Masih anggota DAP

Mengulas lanjut, Amran berkata cadangan agar Aziz diletakkan sebagai calon menteri besar disahkan sendiri oleh Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

"Aziz Bari dah sahkan pada saya dan pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming juga setuju DAP ambil alih kerusi menteri besar Perak kali ini.

"Jadi saya ingin tegaskan di sini bahawa penduduk Perak perlu berhati-hati untuk sokong Pakatan Harapan pada kali ini," katanya yang turut mencabar Nga supaya menjawab dakwaannya itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau dihubungi oleh mana-mana pemimpin DAP, Amran berkata tiada pimpinan berbuat demikian dan menegaskan beliau masih anggota parti berkenaan.

"Saya masih ahli DAP seumur hidup, masih kakitangan unit publisiti DAP. Saya tak bercadang untuk keluar DAP buat masa ini tetapi bersedia untuk apa sahaja (sekiranya dipecat)," katanya lagi.

Amran turut menegaskan beliau akan melakukan lebih banyak pendedahan selepas ini.

 

Lihat Komen