malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam kanan kepada pengundi: Nasib Malaysia di tangan anda
ADS

ULASAN | Masa kian hampir. Pengundi akhirnya bakal menzahirkan pilihan mereka - secara peribadi dan rahsia - bagaimana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak memerintah kita.

Sekiranya PRU ke-14 dijalankan secara bebas, adil dan jujur, sudah pasti Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mencapai kejayaan.

Namun realiti sebaliknya. ‘Gerrymandering’, salah pembahagian (malapportionment) dan rasuah terang-terangan telah mengubah landskap politik menyebelahi BN.

Bagaimanapun dengan emosi para pengundi – kempen ini barangkali yang paling beremosi - dan jumlah keluar mengundi yang tinggi, saya yakin dengan kemenangan HARAPAN di peringkat Persekutuan.

Mereka yang mengikuti politik Malaysia pada tahun 1960-an dan 1970-an tentu masih ingat dengan teori “RAHMAN” yang telah dipenuhi oleh enam perdana menteri.

Apa yang tidak disebut pada masa itu adalah perdana menteri keenam, Najib bakal menjadi perdana menteri UMNO yang terakhir, yang mana selepas beliau, UMNO bakal tewas dalam pilihan raya. Ini bakal berlaku pada 9 Mei.

Itu adalah aspek kedua, dan yang kurang diketahui, dalam teori RAHMAN.

Dalam membuat pilihan masing-masing, pengundi mestilah mempertimbangkan merit setiap calon perdana menteri.

Kes terhadap Najib adalah jelas nyata.

Dan berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad pula, soalan ini perlu ditanya: mengapa lelaki berusia 93 tahun ini (yang seharusnya ingin menghabiskan usia dengan tenang) kembali ke arena politik,mahu menewaskan perdana menteri sedia ada, berjalan beribu batu merentasi negara dan berkempen dengan keupayaan yang mampu membuatkan orang yang tiga kali lebih muda daripadanya merasa malu?

Pastinya bukan cita-cita tinggi yang menjadi dorongannya. Lagipun, beliau telah memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun.

Satu-satunya penjelasan yang munasabah adalah rasa cinta yang mendalam terhadap negara dan rasa peduli dan prihatin yang ikhlas terhadap kebajikan rakyat, yang dirasakannya kini ditindas oleh penyalahgunaan kuasa yang melampau oleh Najib.

Jarang berlaku

Sebelum saya mempertimbangkan motif-motif Dr Mahathir yang lain untuk kembali ke arena politik, perhatian juga harus diberi kepada mereka yang lain.

Jika anda mempertimbangkan barisan kepimpinan kanan dalam kedua-dua gabungan, perbezaannya menjadi lebih ketara.

Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein, Liow Tiong Lai, S Subramaniam dan Azalina Othman di satu pihak, dan Wan Azizah, Lim Kit Siang, Azmin Ali, Lim Guan Eng dan Husam Musa di satu pihak yang lain.

Kemudian ada pula Anwar Ibrahim yang akan menyertai mereka selepas isu-isu perundangan formal diselesaikan sebaik beliau dibebaskan dari penjara.

Pemerhati yang objektif akan memberi markah yang lebih tinggi kepada HARAPAN.

Lim Kit Siang seharusnya dianggap sebagai aset negara, berani berdiri teguh dengan prinsipnya selama lebih 50 tahun menentang kekuasaan kerajaan. Dua kali beliau menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sewajarnya dan seharusnya Lim Kit Siang diberi penghormatan dengan satu jawatan kanan kabinet dalam pentadbiran Dr Mahathir.

Perbandingan tidak seharusnya berhenti tanpa membandingkan isteri perdana menteri (bukan wanita pertama!). Pengundi hanya perlu diingatkan akan pilihan yang ada di depan mata - Rosmah Mansor atau Siti Hasmah, dan mereka sudah dapat mendengar suara bantahan terhadap salah satu daripada nama itu.

Dalam sebuah demokrasi yang berfungsi dan bertanggungjawab, politik adalah sesuatu yang kasar. Ahli politik jarang sekali mendapat untuk memperbaiki kerosakan yang telah mereka lakukan ke atas badan politik, atau memperbetulkan kesilapan yang pernah dibuat semasa memegang tampuk pemerintahan.

Dr Mahathir nampaknya adalah pengecualian, apabila diberi peluang untuk melaksanakan reformasi dan perubahan kepada sistem dan struktur yang telah beliau bina selama 22 tahun.

Peluang untuk membuat perubahan tersebut tampak seperti satu motif kuat yang mendorongnya.

Ramalan dan petanda

Sejak 2008 pihak pembangkang mengorak langkah semakin maju, dan pada 2013 mendapat 52 peratus undi popular. Walaupun jika Dr Mahathir tidak bersama pada PRU kali ini, undi popular pembangkang pastinya berada pada sekitar itu.

Tetapi prestasi Dr Mahathir yang paling memberangsangkan adalah apabila beliau dengan sendirinya meningkatkan jumlah sokongan tersebut kepada 60 peratus.

Jika dibandingkan dengan Najib yang masih mentah, beliau adalah ahli politik geliga yang telah menerajui kempen dengan pengalaman yang sukar ditandingi - bermula pada 1964 apabila beliau kali pertama terpilih ke Parlimen.

Usaha dan sumbangan Dr Mahathir mendorong Tun Daim Zainuddin untuk meramalkan kemenangan HARAPAN secara terbuka. Barangkali tanda-tanda yang lebih baik lagi adalah pengumuman ketua-ketua Angkatan Tentera dan Laut dan Ketua Polis Negara yang pasukan keselamatan bersikap neutral.

Mereka telah melihat petanda yang jelas dan ingin berada di pihak yang bakal menang. Lebih ramai lagi yang akan meninggalkan kumpulan tersebut.

Pengundi yang menuntut perubahan dan reformasi akan meletakkan standard yang paling tinggi kepada pentadbiran baru Dr Mahathir.

Kerajaan HARAPAN akan dikritik jika mereka tidak menukar dasar BN yang teruk, tidak dengan segera menambah baik keadaan kebanyakan warga dan tidak memansuhkan undang-undang yang menindas. Paling penting, pengundi boleh menolak mereka pada PRU ke-15. Jadi beri peluang kepada mereka.

Sama ada anda masih mengingati pemerhatian Harold Macmillan tentang the winds of change ataupun lagu Bob Dylan The Times They Are a-Changin’, perubahan kian hampir dengan kita.

Calon-calon HARAPAN dan penyokong mereka janganlah leka pada saat-saat terakhir ini, dan jutaan pengundi mestilah keluar mengundi pada hari Rabu ini.

Malaysia berada di persimpangannya, di ambang kebebasan dan kemenangan, dan keadaan ini diperihalkan dengan baik oleh pujangga agung William Shakespeare dalam karya drama politik beliau yang tak lekang dek zaman, Julius Caesar:

“There is a tide in the affairs of men,
Which, taken at the flood, leads on to fortune;
Omitted, all the voyage of their life
Is bound in shallows and in miseries.
On such a full sea are we now afloat,
And we must take the current when it serves,
Or lose our ventures.”


TOMMY THOMAS adalah peguam kanan yang menulis tentang isu politik dan ekonomi.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen