malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: KDN akan ambil tindakan terhadap sebuah akhbar politik
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap sebuah akhbar politik kerana menyalahgunakan permit penerbitan.

Beliau berkata akhbar yang diterbitkan untuk ahli-ahlinya sahaja telah dijual secara terbuka di vendor dan kedai.

“Saya telah mendapat senaskah akhbar itu di vendor dan kedai... Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mereka tidak akan terlepas daripada tindakan,” katanya pada satu sidang media di Bagan Datuk hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri (KDN) berkata akhbar politik itu sering melemparkan fitnah, pembohongan dan menyebarkan berita palsu terhadap kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih kerana melakukan kerja-kerja fitnah. Sila teruskan usaha itu,” katanya dengan nada sindiran.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pendedahan penolong penerbit UbahTV, sebuah laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, ada kebenaran.

Beliau berkata pendedahan oleh ahli seumur hidup DAP itu menunjukkan parti pembangkang itu berniat jahat dengan melemparkan fitnah terhadap BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pendedahan ini membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja dan fitnah kerana terdesak.

“Walaupun ini cara mereka, tetapi berpolitik dalam Malaysia perlu matang, namun fitnah, tohmahan dan berita palsu tidak harus berlaku. Pemikiran rakyat tidak harus dirosakkan . Budaya kebencian tidak harus ditanam.

“Kemenangan (dalam PRU) kerana fitnah dan pembohongan akan terbongkar nanti,” katanya.

Amran mendedahkan bahawa DAP sanggup mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin BN.

Menurutnya semua propaganda berniat jahat dan berunsur fitnah itu sudah siap dan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei. -Bernama

Lihat Komen