malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa memantau sebarang bentuk video atau berita yang diterbitkan mana-mana pihak bagi memastikan kesahihannya selari dengan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya tidak mahu rakyat dipengaruhi oleh berita palsu dalam membuat keputusan memilih kerajaan pada 9 Mei ini.

“Kita ambil contoh dakwaan kehadiran rakyat Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikatakan memakai topi Barisan Nasional (BN) untuk mengundi pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) baru-baru ini.

“Ini yang menjadi kerisauan sebab 9 Mei (hari pengundian) merupakan hari paling penting dalam negara dan rakyat tidak seharusnya terpancing dan diperbodohkan dengan semua taktik kotor ini (berita palsu)," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian awal di Polis Marin Wilayah 2 di Tampoi, di Johor Bahru, hari ini.

Nur Jazlan yang juga calon BN dan penyandang di kerusi Parlimen Pulai itu berkata berdasarkan akta tersebut sebarang bentuk penyebaran berita palsu sama ada oleh pihak pembangkang atau kerajaan akan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan kesahihannya untuk melindungi rakyat.

Beliau berharap rakyat akan lebih berhati-hati dan tidak terlalu mudah terpengaruh apabila menerima sebarang bentuk berita atau bahan kempen yang mengandungi kenyataan berbaur hasutan dan tidak benar menjelang saat-saat akhir kempen PRU14.

”Ini merupakan isu yang menjadi kebimbangan berikutan penyebaran bahan seumpama itu khususnya melalui laman sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ditanya mengenai situasi kempennya di Parlimen Pulai, beliau memberitahu aktiviti kempen berjalan dengan lancar dan beliau kerap bertemu rakyat pelbagai kaum.

“Kempen saya berjalan dengan lancar dan melibatkan semua kaum di dalam kawasan Parlimen Pulai.

"Saya juga tidak mengesan akan berlakunya tsunami Cina atau Melayu (seperti dakwaan segelintir pihak). Dan saya fikir rakyat akan mengundi secara objektif (pada 9 Mei ini)," katanya.

Nur Jazlan berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi Parlimen Pulai yang mempunyai 106,268 pengundi berdaftar, dengan ditentang Dr Mohd Mazri Yahya (PAS), Salahuddin Ayub (PKR-Amanah) dan Yap Keng Tak (Bebas).

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,226 undi pada PRU13.

 

- Bernama

Lihat Komen