malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir, Daim dan Rafidah 'gempur' Melaka
ADS

PRU14 | Mereka pernah menjadi satu pasukan mengemudi kerajaan, dan kemudian masing-masing bersara atas pelbagai faktor.

Malam ini tiga watak utama membentuk dasar negara suatu ketika dulu bersatu di atas pentas untuk tujuan yang sama sekali berbeza berbanding sebelum ini.

Jika dulu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz menjadi hulubalang Umno dan BN menghadapi pembangkang, kali ini mereka bergandingan untuk menjatuhkan parti terbabit.

Dr Mahathir, Daim dan Rafidah hadir di atas pentas Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mengadakan ceramah di Bukit Piatu, Bukit Katil Melaka.

Dan di depan mereka ribuan orang ramai daripada pelbagai bangsa yang hadir dengan penuh teruja sambil melaungkan kata-kata semangat yang lazim kedengaran dalam ceramah HARAPAN.

Satu daripadanya ialah laungan "Hidup Tun!". Tidak ketinggalan laungan yang sebelum ini ditujukan untuk Dr Mahathir, iaitu "reformasi".

Semasa mengambil giliran berucap, Rafidah yang terkenal dengan kepetahannya berucap menggesa pengundi mengubah "kontraktor" untuk mentadbir negara ini.

"Batalkan kontraktor lama (BN) supaya HARAPAN boleh memperbetulkan segala kesilapan yang berlaku," katanya.

Tak seramai ini

Semasa pertengahan bekas ketua wanita Umno itu berucap jumlah kehadiran orang semakin bertambah dan melimpah sehingga ke jalan raya berhampiran.

Ratusan hadirin yang tiba kemudian terpaksa berpuas hati menjadi penonton dari seberang jalan walaupun itu bermakna mereka terpaksa menghidu bau kurang enak yang datang dari longkang berhampiran.

Turut hadir pemimpin utama HARAPAN, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tidak ketinggalan calon HARAPAN untuk kerusi parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin.

Kemuncak program itu tentulan ucapan Dr Mahathir.

Ketika pengerusi HARAPAN itu mengambil giliran berucap beliau mengingatkan orang ramai mengenai kedudukan Dataran Pahlawan yang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah negara.

Kata Dr Mahathir, di kawasan itulah perdana menteri pertama Malaysia Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berkunjung sekembalinya beliau dari London untuk merundingkan kemerdekaan negara.

"Tidak pernah ada begitu ramai orang Melaka sebelum ini.

"Saya ada semasa Tunku Abdul Rahman balik dari Eropah dengan perkhabaran bahawa kita akan merdeka pada 1957.

"Itu adalah satu sejarah, tetapi saya yakin orang ramai ketika itu - walaupun ia penting - jumlahnya tidak seramai apa yang ada pada malam ini," katanya.

Kata Dr Mahathir beliau yakin jumlah kehadiran di ceramah itu menunjukkan orang ramai yakin bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 Rabu depan.

Pada satu ketika beliau menyedari orang ramai turut mengikuti ucapannya dari bangunan yang terletak di belakang pentas.

Justeru beliau berpusing untuk melihat dan disambut dengan laungan "Hidup Tun!" berkali-kali.

Melaka memang diketahui kubu kuat Umno untuk sekian lama.

Lihat Komen