malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Buruk sangatkah k'jaan hari ini, ada yang mati kebuluran?'
ADS

PRU14 l Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tokoh veteran Umno yang mengkritik BN sebagai golongan yang tidak berterima kasih.

Menggelarkan mereka sebagai "pemimpin pencen", Shahrizat berkata mereka perlu berlapang dada dan memberi ruang kepada pemimpin hari ini untuk mentadbir negara.

"Ramai daripada mereka yang sudah pencen daripada jawatan tertinggi yang dipegang dulu patutnya berterima kasih (kepada BN dan kerajaan).

“Masa kita dah berlalu, bagilah dekat orang lain dan janganlah rosakkan negara,”katanya ketika berucap dalam program Wanita Umno DUN Bukit Payong di Marang, Terengganu, hari ini.

Shahrizat tidak menyebut nama secara khusus tetapi berkata mereka kini bergabung dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Setakat ini pemimpin Umno yang menyertai kempen HARAPAN, atau sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan menyokong gabungan itu, adalah bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan bekas Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Rais Yatim pula sebelum ini lantang mengkritik kerajaan antaranya dalam isu 1MDB.

Shahrizat berkata tindakan mereka bukanlah untuk memperjuangkan rakyat tetapi kerana memiliki agenda peribadi.

Buruk sangatkah kerajaan hari ini? Ada yang mati kebuluran, tiada masa depan?" katanya lagi.

Sedih tengok Mahathir

Shahrizat menyatakan rasa sedihnya melihat Mahathir yang menurutnya diperkudakan HARAPAN apatah lagi Wanita Umno dulu teguh di belakangnya dulu.

"Saya tak tahu macam mana dia boleh jadi macam itu. Wanita Umno terutama yang pernah berkhidmat di bawahnya, naik turun Mahathir kamilah yang mendukungnya.

"Amat kecewa apabila Mahathir menyerahkan dirinya untuk diperkuda DAP. Wanita Umno tak boleh terima perkara ini," katanya.

Shahrizat sebelum ini dikatakan akan membuat kemunculan semula pada PRU ke-14, pada mulanya di kerusi Parlimen Sungai Besar dan kemudiannya Bandar Tun Razak.

Namun selepas tidak menjadi calon, bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mengepalai kempen Wanita Umno dalam PRU kali ini.

Beliau berkata mereka tidak akan menggunakan fitnah dan tohmah pada kempen kali ini.

"Saya tengok melampau sangat HARAPAN dan penyokong mereka. Wanita tak perlu seperti itu, kita ada sejarah dan bukti memimpin negara sebaik mungkin.

"Kita jalankan tugas dengan baik dan saya yakin Terengganu akan kekal dengan kita (BN)," katanya lagi.

Lihat Komen