malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi tak kenal pemimpin BERJASA yang bersungut
ADS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan PAS bersama parti komponan yang membentuk Gagasan Sejahtera tetap berjalan baik walaupun ada pihak mendakwa sebaliknya.

Menurut presiden PAS itu pihaknya tidak menghadapi masalah dengan Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (BERJASA).

Sebaliknya, Abdul Hadi memberitahu, PAS memberi banyak kerusi kepada parti-parti yang bersama Gagasan Sejahtera untuk terbabit dalan PRU ke-14 ini.

Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku terhadap parti yang bersama Gagasan Sejahtera ialah mereka tidak mempunyai calon mencukupi sehingga menyebabkan PAS perlu meletakkan calon sendiri di kawasan yang ditawakan itu.

"Memang kita bagi kerusi yang banyak (tetapi) apa yang berlaku, rakan-rakan kita tak cukup calon.

"Kita yang tambahkan calon-calon," kata Abdul Hadi pada sidang media di Sungai Buloh, Selangor hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik seseorang mendakwa sebagai pemimpin BERJASA.

Menurut laporan itu BERJASA berasa dikhianati oleh PAS dalam kerjasama mereka menghadapi PRU kali ini kerana hanya menyediakan lima kerusi untuk parti yang jarang-jarang didengar namanya itu.

Mohd Junip Huzayin yang mendakwa sebagai ketua penerangan BERJASA berkata parti itu asalnya meminta supaya diberikan 17 kerusi.

Malah, kata Mohd Junip daripada lima kerusi yang diperuntukkan hanya tiga dibenarkan menggunakan logo BERJASA manakala selebihnya menggunakan lambang PAS.

Kata Abdul Hadi beliau tidak mengenai individu yang membuat kenyataan tersebut.

"(Dia) BERJASA atau bersaja, kita tak tahu," katanya.

Abdul Hadi juga dengan tegas menafikan dakwaan yang dibuat Mohd Junip.

[Berita penuh menyusul]

Lihat Komen