malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siam Perlis bagi bayangan nak undi HARAPAN
ADS

PRU14 |  Kenaikan kos sara hidup benar-benar menghimpit semua pihak, dan masyarakat siam yang menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri Chuping, Padang Besar tidak terkecuali.

Meskipun hidup di kawasan terpencil dan bergantung dengan hasil kerja kampung, jumlah pendapatan mereka secara keseluruhannya tidak banyak berbeza berbanding sebelum ini.

Namun di luar rumah, harga pelbagai barang keperluan meningkat ketara.

Justeru rezeki yang mereka perolehi tidak lagi seimbang untuk mencukupi tanggungan keperluan harian keluarga.

Mereka mengaku selama ini yakin kepada BN dalam setiap pilihan raya. Kali ini mereka membayangkan keadaan akan berubah seiring dengan keluhan yang mereka alami.

Bagi pengawal keselamatan kilang gula Endin Bon Indiran hidup di kampung tidak bermakna dia tidak terjejas dengan kenaikan kos sara hidup.

Malah gaji yang didapatinya sebagai pengawal keselamatan itu tidak mencukupi. Justeru dia terpaksa membuat kerja kedua, iaitu bersawah bendang.

“Dulu ekonomi kita berbeza, sekarang tak boleh. Bayangkan kalau kita pi pasar bawa RM50, apa yang kita dapat? Ikan pun mahal," katanya kepada Malaysiakini.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) 9 Mei ini, Endin mengaku mendapat "amaran" daripada rakan-rakan supaya tidak mengalih sokongan daripada BN.

"Biaq pi-lah. Nak warning pasal apa, tu hak masing-masing.

"Dulu saya orang kuat Umno, sejak dulu saya undi BN sebab dulu ekonomi OK tapi sekarang tak dah,” katanya (gambar).

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata dia bertekad berbuat demikian kerana tidak mahu ekonomi Malaysia mengalami nasib seperti Afrika.

“Cik mau tak negara kita jadi macam Afrika?" tanya Endin kepada Malaysiakini sambil berkata, perubahan bukan saja perlu dibuat oleh masyarakat Siam, malah Melayu.

Masalah semua bangsa

Untuk rekod terdapat 3,485 pengundi berdaftar di kalangan kaum Siam di Perlis dengan jumlah terbesarnya menetap di DUN Chuping.

Bagi penoreh getah, Venei Chuan (gambar, bawah) masalah yang dihadapi masyarakat Siam sama seperti mereka yang hidup di ibu kota iaitu bebanan kenaikan kos sara hidup dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Selain itu katanya, disebabkan kenaikan kos sara hidup, dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual mengambil keputusan untuk tinggal di kampung dengan harapan pendapatan sebagai penoreh getah dapat dapat menampung keperluannnya.

“Ini masalah berantai, masalah ekonomi, peluang pekerjaan pun tak ada.

"Saya rasa bukan takat orang Siam tapi seluruh bangsa hadapi,” katanya.

Venei, 47, yang sudah lima tahun berpindah ke kampung turut mendakwa wakil rakyat di kawasan itu tidak pernah menjenguknya walaupun sekali.

“Saya balik mari, duduk lima tahun tak ada kenal siapa, mungkin saya tak bergaul, tapi saya tak jumpa.

“(Wakil rakyat) tak turun kampung, tu yang saya tak kenal,” katanya sambil ketawa.

Bagi pesara guru, Eniom Endin Sing, selain kos sara hidup masyarakat Siam menghadapi pelbagai masalah lain, antaranya isu taraf bumiputera dan pemilikan tanah.

Katanya walaupun berstatus bumiputera, mereka tidak dapat menikmati kelebihan seperti orang Melayu selain cuma layak memohon untuk membeli Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) saja.

“Kalau kita lihat dalam perlembagaan, kita ni bumiputera, tapi bumiputera sekadar bumiputera sajalah, sebab kaum Siam ni cuma boleh membeli ASB sahaja, selain tu tak ada apa-apa keistimewaan.

“Masyarakat Siam juga tak diwakili parti politik, jadi kami terbiar.

"Kerajaan dah dekat nak PRU baru datang. Kalau tak, lima tahun tu dalam tujuh kali saja datang berbanding sekarang tiap-tiap minggu,” katanya.

Dulu lain sekarang lain

Bagi masalah di kampung pula pihak kerajaan tidak membina dewan orang ramai serta mereka juga berdepan dengan kekangan kewangan untuk membina bangunan dalam tempat ibadah mereka.

“Saya tinggal di Kampung Guar Nangka. Dewan orang ramai pun tak ada sedangkan dewan sangat diperlukan apabila nak buat aktiviti.

"Kemudian sekarang macam di kampung saya ada wat. Itu bangunan kita bina hasil derma orang ramai. Semua hasil derma. Bukan tak pernah minta bantuan kepada kerajaan tapi tak dilayan,” katanya.

Bekas Penolong Kanan sebuah sekolah kerajaan itu juga berkata sejak dulu dia memberikan undi kepada BN namun pada PRU ke-14 ini, perubahan akan berlaku.

“Saya dulu sokong BN sebab dulu BN tak seperti sekarang. Dulu, masyarakat Siam 99 peratus sokong BN. Sekarang masyarakat Siam dah bijak, anak-anak mereka bagitahu keadaan semasa, sekurang-kurangnya 70 peratus berpindah ke HARAPAN,” katanya.

Eniom ketika ditanya adakah senator Siam, Aknan Ehtook benar-benar mewakili masyarakat itu berkata: “Senator dilantik dariapda kalangan pihak pemerintah, jadi apa yang mereka boleh buat? Dia tu jaga yang seluruh Malaysia. Dia kena juga jaga periuk nasi dia,” katanya.

DUN Chuping merupakan kerusi tradisi BN dan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Asmaiza Ahmad (BN), Mohd Ali Puteh (PAS) dan Poziyah Hamzah (PKR).

Sementara itu Poziyah ketika ditemui Malaysiakini berkata, BN tidak mempedulikan masalah masyarakat Siam terutamanya kesihatan dan perparitan di DUN tersebut.

Sokongan buat Shahidan padu

Dakwanya, masyarakat Siam mengemukakan masalah itu kepada Asmaiza selaku wakil rakyat serta exco kerajaan Perlis, namun tidak dihiraukan.

“Saya nampak masyarakat Siam diabaikan dalam masalah banjir, perparitan tak diambil peduli.

"Semalam semasa perjumpaan kaum Siam di Padang Jelutong, mereka minta perparitan dibaiki, saluran air di sawah nak di pulihkan sebab kalau banjir akan jadi banjir kilat di kawasan mereka.

"Jika diberi mandat, itu tumpuan pertama yang akan saya bantu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kasim yakin sokongan masyarakat Siam terhadap parti itu terus memihak kepada parti itu pada pada PRU nanti.

“Masyarakat Siam bersama saya dah lama berpuluh tahun, jadi mereka kenal hati budi saya, saya kenal hati budi mereka.

Calon Parlimen Arau itu turut menyedari terdapat beberapa di kalangan kaum Siam mula beralih arah.

“Sokongan terhadap saya padu tapi adalah seorang dua naikkan bendera lain. Tak ada masalah, kita boleh kenal pasti sesiapa naikkan bendera, kampung ni kita boleh kenal pasti tiga orang penyokong, sampai tahap macam tu.

“Kampung ni 17 orang penyokong, jadi kampung ni atas pagar, jadi atas pagar kita merayu sebab selama ni kita membela nasib rakyat yang menyokong kita semua.

"Kalau orang Siam pilih pembangkang mereka hanya individu tak boleh memerintah di negara ini,” katanya.

Lihat Komen