malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengundi muda buat Hadi yakin PAS tawan Kedah
Diterbitkan:  May 3, 2018 8:34 AM
Dikemaskini: 12:40 AM
ADS

PRU14 | PAS menegaskan parti itu masih relevan serta menjangkakan mempunyai peluang cerah mencatat kejayaan di Kedah.

Keyakinan itu kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang berasas kerana ia dibuat berdasarkan kepada kajian pilihan raya umum (PRU) yang dilakukan.

Presiden PAS itu berkata parti terbabit mempunyai ahli paling ramai serta cawangan terbanyak di Kedah berbanding parti lain.

Justeru katanya PAS yakin untuk merampas negeri berkenaan daripada BN.

“PAS bertapak di Kedah sejak PAS mula-mula ditubuhkan (malah) sebelum di Terengganu dan Kelantan.

"Untuk makluman PAS di Kedah lebih kuat di Malaysia berbanding di Kelantan dan Terengganu kerana cawangan paling banyak, ahli paling banyak.

“Kenapa kita tak menang (sebelum ini)? Kerana strategi Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghalang PAS menang," katanya katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Medan Ilmu Sungai Baru Gunong, Alor Setar malam tadi.

Ada orang muda, ada jentera

PAS mempunyai sejarah pembabitan pilihan raya yang panjang di Kedah, malah beberapa pemimpin utamanya pernah mengemudi parti berkenaan.

Antara yang paling terkenal ialah Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Tan Sri Azizan Razak serta Abdul Halim Arshat.

Pengaruh PAS di Kedah turut disumbangkan oleh pola kaum yang menyaksikan ramai orang Melayu, serta kewujudan pondok-pondok pengajian Islam.

Bagaimanapun PAS hanya berjaya membentuk kerajaan pada 2008 melalui PRU ke-12 apabila mereka bersama-sama dengan parti pembangkang lain.

Melalui kejayaan itu Azizan dilantik sebagai menteri besar sebelum BN kembali memerintah dengan majoriti mudah lima tahun kemudian.


Baca 'Jika sayang Dr M, jangan undi dia'


BN memperoleh 21 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Kedah.

Pada Pada PRU ke-14 yang akan berlangsung kurang dari seminggu ini PAS akan bertanding di semua 36 kerusi DUN dan 15 kerusi parlimen.

Kata Abdul Hadi perubahan keadaan yang berlaku sekarang membolehkan PAS menang di Kedah.

Antara faktor yang dimaksudkan Abdul Hadi ialah bilangan pengundi muda.

"Lawatan saya di seluruh negeri (mendapati) pengundi muda tak kurang 30 peratus. Sebab itu kita boleh menang (di Kedah),” katanya.

Selain itu Hadi berkata PAS mempunyai jentera yang mencukupi bagi menghadapi PRU pada 9 Mei ini.

Lihat Komen