malaysiakini logo
story-image
ADS

PRU14 | Selepas Tun Daim Zainuddin, kemungkinan besar giliran Tan Sri Rafidah Aziz pula untuk menyertai kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu program ceramah di Ayer Keroh, Melaka malam ini.

Beliau berkata dua tokoh Umno itu akan menyertai program ceramah bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad di DUN Bukit Katil (sebelum ini Bukit Baru) Jumaat ini.

"Saya bercakap dengan anak Daim dan insyaAllah, beliau akan menyertai kita pada 4 Mei ini dalam program bersama Mahathir.

"Dan saya juga tidak pasti sama ada boleh cakap tentang ini tetapi Rafidah juga akan ada pada malam itu," katanya disambut sorakan kira-kira 250 hadirin.

Daim dan Rafidah merupakan dua menteri kanan ketika pentadbiran Mahathir. Daim adalah menteri kewangan menakala Rafidah menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Rafidah yang dikenali sebagai 'wanita besi' memang lantang mengkritik kerajaan terutama berkaitan skandal 1MDB.

Daim pula yang lebih berdiam diri membuat kejutan dengan menyertai kempen HARAPAN sejak dua hari lalu.

Pada PRU ini, Shamsul sekali lagi akan berdepan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya (sebelum ini Bukit Katil) yang disandangnya.

Ayer Keroh dan Bukit Katil adalah dua DUN yang berada dalam kawasan parlimen itu.

Lihat Komen