malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Melayunisasi' di Sabah tak terjadi zaman Mahathir, kata WARISAN
Diterbitkan:  May 2, 2018 7:12 PM
Dikemaskini: 11:30 AM
ADS

PRU14 | Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyelar calon BN Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan menyifatkan BN Sabah sebagai menyalahkan orang lain atas kesalahan sendiri.

Bendahari agungnya, Terrence Siambung berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Abdul Rahman bahawa masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di Sabah akan menolak WARISAN sebagai protes terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dr Mahathir telahpun melepaskan jawatannya 15 tahun yang lalu iaitu pada 2003 dan sepanjang masa itu, BN Sabah mempunyai peluang untuk melonjakkan Sabah kembali ke landasan yang boleh dibanggakan berkaitan dengan beberapa isu yang dekat dihati oleh kaum KDM.

"Tetapi perkara ini tidak terjadi dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah hanya dibuat pada 2013 dan sehingga kini, belum ada penyelesaian konkrit mengenai isu ini dari pentadbiran Datuk Seri Najib Razak

"Apa yang menghairankan ialah presiden-presiden parti-parti komponen BN Sabah sebaliknya menyalahkan Dr Mahathir mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Membandingkan situasi di Sabah ketika zaman Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Razak, Terrence (gambar) mendakwa identiti masayarakat KDM terjejas di zaman Najib, selain jumlah KDM memegang jawatan tinggi di dalam kerajaan dan jabatan negeri itu semakin merosot.

"Pada masa pentadbiran Dr Mahathir, jumlah ini adalah besar tetapi selepas sahaja Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, jumlah ini jatuh mendadak.

"Dan harus diingat, proses 'Melayunisasi' di kalangan kaum KDM ataupun serangan terhadap identiti KDM tidak pernah terjadi di negeri ini semasa pentadbiran Dr Mahathir.

"Proses dan serangan terhadap identiti KDM secara terbuka ini hanya terjadi ketika pentadbiran Najib malah ada pemimpin BN Sabah dengan bangga mengatakan bahawa kaum KDM ini ialah dari rumpun Melayu," katanya menyeru agar pengundi di kalangan masyarakat KDM tidak mengundi BN pada PRU 9 Mei.

Mengulas dakwaan Abdul Rahman bahawa Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal berlindung di sebalik keputusan HARAPAN melantik Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, Terrence menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan keputusan itu.

"Saya membidas kenyataan pertama Abdul Rahman itu kerana pelantikkan Dr Mahathir sebagai (calon) perdana menteri (HARAPAN) tidak ada kaitan sama sekali dengan presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal kerana WARISAN bukannya satu daripada parti komponen yang membentuk HARAPAN," katanya.

Untuk rekod, meskipun tidak menyertai HARAPAN, WARISAN dan HARAPAN merupakan rakan kerajasama pilihan raya.

Terrence menambah, WARISAN melalui proses rundingan yang sukar berhubung pembahagian kerusi Parlimen dan DUN Sabah dengan HARAPAN sehinggakan dituduh sebagai tamak.

"Jadi bagaimanakah pula Shafie boleh memainkan peranan penting dalam perlantikkan tersebut seperti yang didakwa oleh Abdul Rahman?

"Sekiranya WARISAN ialah proksi kepada Dr Mahathir, maka pembahagian kerusi-kerusi ini sudah pastinya tidak akan berdepan dengan sebarang masalah kerana Dr Mahathir sudah pasti mengarahkan pemimpin-pemimpin PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU memberi kelebihan kepada WARISAN," katanya.

Lihat Komen