Kerajaan memfailkan permohonan usul bagi mendapatkan kebenaran merayu di hadapan Mahkamah Persekutuan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan untuk memasukkan kerajaan sebagai defendan dalam saman yang difailkan Shaariibuu Setev dan keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu.
Peguam keluarga itu, Sangeet Kaur Deo ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berikutan pengurusan kes di mahkamah mengesahkan kerajaan telah memfailkan usul itu dan keluarga berkenaan perlu memfailkan afidavit sebagai balasan terhadap usul yang dibuat sebelum 6 Jun 2018.
Pengurusan kes hari ini dibuat dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Sabrina Bakar.
Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2018 lalu dilaporkan telah menamakan semula kerajaan sebagai defendan dalam saman RM100 juta yang difailkan oleh Shaariibuu Setev dan cucunya atas kematian model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh peguam Setev, Sangeet Kaur Deo (gambar) dan Ramkarpal Singh, bahawa ada isu yang perlu dibicarakan. Dua lagi hakim yang bersidang sama adalah Datuk Vernon Ong dan Datuk Ahmadi Asnawi.
Keputusan dibuat sebulat suara dan mahkamah juga membenarkan kos RM1,000 dibayar oleh kerajaan.
Dengan keputusan hari ini, defendan dalam saman itu kekal, iaitu bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Penganalisis Politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan.
Keluarga itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017 lalu, membenarkan permohonan kerajaan menarik diri sebagai pihak yang disaman kerana ia tidak mendedahkan punca tindakan yang munasabah.
Saman itu difailkan pada 2007 oleh Setev dan dua anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di sebuah hutan terpencil di Puncak Alam, berhampiran Shah Alam. Azilah dan Sirul kemudiannya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.
Namun, Sirul berjaya melarikan diri ke Australia sebelum keputusan itu. Dia kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa Australia dan masih berada di pusat tahanan Imigresen berdekatan Sydney.