malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tsunami Melayu rugikan Islam – mufti Pahang
Diterbitkan:  May 2, 2018 4:13 PM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Tsunami Melayu dilarang kerana akan menyebabkan orang Melayu-Islam berpecah hingga boleh membawa keuntungan besar kepada politik bukan Islam, kata mufti Pahang.

Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata perkara-perkara yang boleh merugikan orang Islam termasuk dari segi kuasa politik perlu ditinggalkan, lapor Utusan Malaysia.

“Tsunami Melayu, apa tujuannya? Untuk memecahbelahkan orang Melayu? Tak baguslah begitu. Hal ini dilarang agama kalau kita dah tahu berlakunya perpecahan seperti merebut kuasa hingga merugikan orang Melayu dan agama.

“Tak boleh kita berkawan dengan bukan Islam sehingga tinggalkan orang Islam (sebagai sekutu). Ia dilarang agama. Kalau tidak mengendahkan apa yang terkandung dalam al-Quran ini, tunggulah azabnya,” beliau dipetik sebagai berkata kepada akhbar Umno itu hari ini.

Tegas Abdul Rahman, bersepakat untuk pembangunan umat Islam merupakan rahmat kerana al-Quran mengingatkan setiap mukmin itu bersaudara yang bermakna perlu ada kasih sayang, tolong-menolong dan bersatu padu.

“Saya nak ingatkan semua berhubung firman Allah SWT dalam ayat ke-10, surah al-Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pakatan Harapan, melalui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sedang menggerakkan tsunami Melayu bagi menjatuhkan kerajaan BN pimpinan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen